SHAH ALAM - Kemampuan Lembaga Tabung Haji (TH) mengimbangi pengurusan pelaburan termasuk pasaran kewangan dalam dan luar negara dibuktikan dengan pulangan pelaburan dividen yang tinggi bagi tahun 2024.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, langkah meninggalkan portfolio pelaburan yang tidak menguntungkan selepas TH disusun semula pada 2019 turut membantu institusi kewangan itu menzahirkan keuntungan memuaskan kepada penyimpan.
"Sebagai institusi yang diamanahkan untuk menyimpan wang umat Islam bagi mengerjakan ibadah haji, maka fokus utamanya adalah menyediakan dana mencukupi kepada pendeposit dan pelaburan ke atas simpanan jemaah ini membantu besarkan lagi dana mereka.
"TH tidak seperti pengurus pelaburan lain yang perlu sentiasa menyediakan kecairan tunai mencukupi pada setiap masa, penyimpan tidak dihalang untuk mengeluarkan simpanan bila-bila masa.
"Keseimbangan ini sememangnya menyebabkan TH tidak terlalu fokus kepada pelaburan semata-mata," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengumumkan agihan keuntungan TH selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, meningkat berbanding 3.10 peratus yang dicatatkan sejak empat tahun lalu.
Beliau memaklumkan, kadar tersebut adalah prestasi terbaik TH dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.
Dalam pada itu Aimi Zulhazmi menjelaskan, prestasi Bursa Malaysia pada 2024 dengan purata mata indeks naik dari 1,400 kepada 1,600 dalam tempoh setahun turut menyumbang kepada kemampuan tersebut.
Menurutnya, kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras tiga peratus tahun berkenaan juga memberi pulangan sesuai terutama sukuk dan simpanan syariah yang konsisten.
"Tahun 2025 mungkin berbeza kerana faktor ekonomi global yang tidak menentu. Sekiranya TH dapat kekalkan prestasi seperti 2024, sudah dikira baik," ujarnya.
Sementara itu Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali mengesyorkan pelaburan yang lebih strategik supaya dapat memberikan pulangan lebih tinggi pada masa akan datang.
"Ada banyak jenis pelaburan yang boleh dipertimbangkan TH antaranya tokenisasi sukuk.
"Namun yang penting dalam pelaburan adalah aset alokasi dan sekiranya ia strategik, mungkin boleh mencapai kepada pulangan lebih tinggi," jelasnya.