Al-Sultan Abdullah bangga empat daerah Pahang diiktiraf bandar paling bahagia

Iklan
Al-Sultan Abdullah (kiri) berkenan berangkat menyempurnakan perasmian MTAR yang turut disaksikan oleh Wan Rosdy (tengah). Foto ihsan Media Pahang

LIPIS - Pemilihan empat daerah di Pahang sebagai antara 20 bandar paling bahagia di Malaysia bagi tahun 2025 mendapat perhatian Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berbangga dengan kejayaan tersebut.

Baginda bertitah, kejayaan itu amat bertepatan dengan suasana yang dapat dinikmati di daerah tersebut, terutama di Lipis.

Iklan
Iklan

"Saya bangga dengan kejayaan Lipis, Cameron Highlands, Jerantut, dan Temerloh. Di Lipis hari ini, saya melawat bandar dan masjid, melihat senyuman di wajah setiap orang, gelaran ini sangat sesuai," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Pahang untuk terus berusaha, menjaga kebersihan, serta mengutamakan solat dan mengaji.

Iklan

Baginda bertitah demikian selepas merasmikan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) di Kampung Tanjung Gahai, di sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Iklan
Pelajar lelaki MTAR tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama Al-Sultan Abdullah dan Wan Rosdy. Foto ihsan Media Pahang

Dalam pada itu, Wan Rosdy berharap kejayaan empat daerah tersebut dapat menjadi inspirasi kepada daerah lain di Pahang untuk turut mendapat pengiktirafan yang sama.

"Dalam masa yang sama empat daerah yang telah diisytiharkan sebagai bandar bahagia dapat terus mengekalkan pengiktirafan kerana saya percaya daerah-daerah lain pun akan berusaha untuk mendapat pengiktirafan seperti ini," jelasnya yang turut berbangga dengan kejayaan tersebut

Pada Khamis, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan 20 bandar yang tersenarai sebagai bandar paling bahagia berdasarkan Indeks Kebahagiaan Malaysia.

Lipis, Cameron Highlands, dan Jerantut meraih pengiktirafan dalam kategori Majlis Daerah, manakala Temerloh tersenarai dalam kategori Majlis Bandaraya dan Perbandaran.