KUALA LUMPUR – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memandu secara berbahaya dalam kes langgar lari yang tular di sebuah kelab hiburan di Jalan Klang Lama, dua bulan lalu.
M Lavindran, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu secara laju dan berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian, yang turut mengakibatkan dua individu, Mahariff Mahali, 41, dan Muhammad Ariff Asraff Jamaluddin, 21, mengalami kecederaan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama pada jam 6.18 pagi, 29 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip, tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
"Pada peringkat awal, tertuduh ini tidak dapat dikesan dan hanya berjaya ditangkap pada 17 Mac lalu di Jalan Travers.
"Oleh itu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh berkemungkinan akan melarikan diri," katanya.
Bagaimanapun, peguam T Mishant yang mewakili tertuduh merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin kerana Lavindran tidak ditangkap, sebaliknya menyerah diri kepada pihak polis.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Zaki tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh, penganggur M Ranjith, 19, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan memiliki pisau ketika menyertai rusuhan dalam kejadian sama.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki pisau ketika mengambil bahagian dalam rusuhan di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mei depan.