Peniaga didakwa miliki 139 kotak mercun bernilai RM347,500 tanpa lesen

Iklan
Balveer Singh (kiri) menunjukkan mercun yang dirampas.

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan menyimpan dan memiliki bahan letupan tanpa lesen yang sah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pertuduhan dibuat selepas tempoh reman lelaki berusia 40 tahun itu tamat hari ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek, seorang warga tempatan, ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Unit Risik Marin (URM), Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor di sebuah rumah di Taman Perling, kira-kira jam 3 petang, Selasa lalu.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan 139 kotak bahan letupan yang disimpan di bahagian garaj rumah tersebut sebelum kita membuat tangkapan serta rampasan.

Iklan

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM347,500. Siasatan awal mendapati mercun itu dipercayai untuk dijual di bazar Ramadan bagi sambutan Aidilfitri, namun kita masih menyiasat sumber bekalannya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU), pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan bahawa rampasan ini merupakan yang terbesar melibatkan bahan letupan mercun di kawasan pentadbiran IPD Johor Bahru Utara setakat ini.

Iklan

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada penyalahgunaan dadah.

"Dia direman selama tiga hari sebelum didakwa di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan tanpa lesen yang sah.

"Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,000 sebelum menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes,” ujarnya.