Jalan terputus, arus deras sukarkan operasi pemindahan

Iklan
Roslan menunjukkan Sungai Tebrau di Kampung Maju Jaya yang melimpah hingga menyebabkan banjir pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Seramai 60 mangsa banjir daripada enam keluarga di Kampung Maju Jaya, di sini, terpaksa diselamatkan menggunakan bot selepas jalan utama ke kawasan itu terputus akibat banjir dan arus deras pada Khamis malam.

Ketua Kampung Maju Jaya, Roslan Hassan berkata, operasi pemindahan yang dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa dilakukan secara berperingkat menggunakan bot.

Iklan
Iklan

"Mereka dipindahkan selepas waktu berbuka, antara jam 8 hingga 10 malam. Pada mulanya, penduduk tidak menjangka air akan naik dengan begitu cepat dan tinggi sehingga paras dada.

Faridah

"Mereka cuba mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung yang memiliki bot, tetapi usaha itu terpaksa dihentikan kerana bot yang digunakan tidak mempunyai enjin dan arus deras menyukarkan pendayungan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Maju Jaya, pada Jumaat.

Menurutnya, air mula naik sekitar jam 10 pagi semalam sebelum jambatan utama ditenggelami air hingga menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Iklan

Ujarnya, banjir kali ini turut menjejaskan kira-kira 80 peratus daripada lebih 3,000 penduduk kampung, membabitkan 720 rumah.

Tambahnya, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya dan Sekolah Agama (SA) Kampung Maju Jaya, turut terpaksa ditutup.

"Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 140 keluarga dari kampung ini sudah berdaftar di PPS, termasuk saya sendiri.

"Banyak harta benda musnah dalam kejadian ini. Saya baru membeli kabinet, sofa dan tablet pada Isnin lalu, tetapi semuanya tenggelam akibat banjir.

"Perabot, televisyen, meja dan pelbagai lagi barangan rumah rosak kerana air naik mendadak hingga paras dada. Saya anggarkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang terkandas, Faridah Abd Ghafar, 62, berkata, pada awalnya dia tidak berpindah kerana kediaman mereka terletak di kawasan tinggi dan sebelum ini tidak pernah dinaiki air.

"Semua yang menumpang di rumah saya ialah jiran kerana rumah saya paling tinggi dan selamat. Tapi semalam, sekitar jam 4.00 petang, air sudah naik dan arus deras menyukarkan kami keluar.

"Penduduk kampung cuba menyelamatkan kami dengan bot, tetapi mereka tidak berani mengambil risiko kerana arus kuat. Jadi, kami hanya menunggu bantuan APM.

"Semasa berbuka, kami hanya makan mi segera yang dimasak dalam periuk nasi elektrik kerana rumah saya masih ada bekalan elektrik,” katanya.

Menurut Faridah, dia dan keluarganya akhirnya dipindahkan ke PPS sekitar jam 9.00 malam menggunakan bot APM melalui laluan Sungai Tebrau selepas jalan utama ke kampung mereka tidak lagi boleh dilalui.