PENGENDALI Itali, Luciano Spalletti menegaskan bahawa tandukan dan situasi bola mati tidak seharusnya menjadi kebimbangan utama pasukannya selepas dibolosi dua gol melalui situasi tersebut ketika tewas 1-2 kepada Jerman dalam aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara Eropah di Stadium San Siro, Jumaat lalu.
Anak buah Spalletti terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Sandro Tonali pada minit kesembilan sebelum Jerman bangkit dengan gol Tim Kleindienst (m-49) dan Leon Goretzka (m-76), sekali gus menyaksikan Itali tunduk di laman sendiri.
Kekalahan di Milan kepada pasukan kendalian Julian Nagelsmann itu menyukarkan misi Azzurri menjelang aksi timbal balik kedua di Dortmund pada 24 Mac depan.
"Dalam beberapa situasi, kami gagal mengekalkan tempo permainan yang betul, sedangkan Jerman bermain dengan sangat konsisten.
"Ada detik-detik tertentu dalam perlawanan yang kami bayar dengan harga terlalu mahal.
"Ia bermula dengan hantaran dari tengah padang, kemudian mereka menemui pemain yang tidak dikawal di dalam kotak penalti," kata Spalletti.
Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut Itali di San Siro selepas tunduk 1-3 kepada Perancis pada November lalu, sekali gus menyebabkan mereka jatuh ke tangga kedua kumpulan.
Masalah bertahan dalam situasi bola mati dan tandukan terus menjadi isu buat Azzurri, yang kini berdepan tugas getir membawa defisit satu gol ke Dortmund.
"Kami tahu mereka mempunyai kelebihan dari segi ketinggian, sebab itu saya memasukkan Raoul Bellanova, tetapi mereka sangat bagus dalam perebutan udara.
"Apa yang boleh kami lakukan sekarang ialah mengucapkan tahniah kepada mereka dan berusaha memperbaiki diri.
"Semua orang tahu kami bergelut dengan bola mati, tetapi kami tidak boleh terus membicarakannya kerana ia boleh menjadi satu obsesi," jelas Spalletti.