Terapkan pendekatan inklusif cegah rasuah dalam kalangan belia

Iklan
Usaha memerangi rasuah perlu bermula sejak peringkat awal melalui sistem pendidikan. Gambar kecil: Ain Haryati Amira

SHAH ALAM – Pendekatan inklusif merangkumi aspek pendidikan, nilai moral dan penguatkuasaan tegas mampu membimbing belia untuk menolak rasuah serta membentuk masyarakat lebih bersih dan berintegriti.

Exco Majlis Belia Negeri Sembilan, Ain Haryati Amira Ahmad Ridzwan berkata, usaha memerangi rasuah perlu bermula sejak peringkat awal melalui sistem pendidikan.

Iklan
Iklan

"Mata pelajaran berkaitan etika dan integriti wajar diterapkan di sekolah dan universiti bagi meningkatkan kesedaran belia mengenai bahaya rasuah.

"Selain itu, saya mencadangkan program kesedaran seperti ceramah, forum dan kempen antirasuah diperkasakan dengan acara lebih santai bagi menarik minat golongan muda," katanya kepada Sinar Harian, Khamis.

Iklan

Kata Ain Haryati, program pencegahan rasuah juga tidak sewajarnya tertumpu inisiatif-inisiatif berbentuk formal yang sarat dengan fakta dan teks panjang.

Tambahnya, sebaiknya program berkenaan perlu memasukkan elemen-elemen lebih menarik seperti penggunaan media sosial, video pendek, infografik atau sesi interaktif supaya belia lebih responsif.

Iklan

"Gunakan ikon belia atau pempengaruh yang boleh menyampaikan mesej dengan cara lebih dekat dengan anak muda.

"Pendekatan seperti lawak berinformasi, drama pendek atau eksperimen sosial juga boleh bantu belia faham isu rasuah dengan cara lebih relevan dan mudah diingati," katanya.

Berdasarkan pengalaman Ain Haryati sebelum ini, beliau mendedahkan isu tekanan kewangan sering menjadi faktor utama mendorong seseorang terjerumus dalam amalan rasuah.

"Oleh itu, belia perlu diberikan akses kepada peluang pekerjaan yang adil serta ruang untuk menceburi bidang perniagaan bagi mengurangkan risiko mereka terlibat dalam rasuah.

"Pendekatan holistik ini diharap dapat membentuk generasi muda yang lebih berintegriti dan bebas daripada gejala rasuah," katanya.