Pesara mengaku tidak salah cederakan lelaki disangka Muslim

Iklan
Abdul Razak (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menampar seorang pemuda kerana 'tidak berpuasa'.

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan seorang pemuda disangka Muslim yang tidak berpuasa Ahad lalu.

Abdul Razak Ismail, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret A Shaarmini.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda di Lot L1 14 dan 15, Tingkat 1, sebuah pusat beli-belah di Tampoi, kira-kira jam 6.15 petang pada 17 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Iklan
Abdul Razak (tengah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menampar seorang pemuda kerana 'tidak berpuasa'.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nur Fatihah Mohd Nizam mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguamnya, Mohd Salleh Togimin memohon jumlah itu dikurangkan kerana Abdul Razak yang juga pesara kerajaan perlu menanggung tiga anak termasuk seorang yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Iklan

"Jaminan RM8,000 terlalu tinggi dan seolah-olah menjadi hukuman awal terhadap anak guam saya, sedangkan dia belum dibuktikan bersalah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes dijadualkan pada 29 April depan bagi serahan dokumen.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan pagi tadi, mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Razak selepas Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan kes berkenaan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang pemuda ditegur seorang lelaki warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah.

Keadaan menjadi tegang apabila warga emas itu meminta pemuda berkenaan menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda itu yang enggan berbuat demikian kemudian mendakwa dirinya dimarahi sebelum ditampar beberapa kali.