ALOR SETAR - Pas perlu dijenamakan semula sebagai sebuah parti berinovasi, prihatin kepada rakyat serta berwawasan agar kekal relevan bagi meyakinkan rakyat parti itu mampu mentadbir negara.
Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, keadaan politik sentiasa berubah mengikut keadaan semasa, kehendak rakyat serta faktor ekonomi dan sosial menyebabkan pemimpin, dasar dan ideologi perlu berubah seiring peredaran zaman.
Menurutnya, disebabkan itu, Pas perlu merangka satu pelan ekonomi menyeluruh meliputi aspek sains, kemasyarakatan, undang-undang, pertanian, perdagangan selain mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.
"Sebagai parti yang menang paling banyak kerusi pada pilihan raya umum lepas, Pas perlu bentangkan pelan strategik tanpa sisihkan aspek keagamaan dan bangsa.
Mohd Azwardi berkata, Pas tidak boleh lagi dilihat sebagai parti yang dilabel penunggang agama oleh musuh politiknya atau menjuarai isu bangsa tanpa diseimbangkan dengan kemampuan mentadbir negara.
"Pas berpengalaman menjadi kerajaan sebelum ini. Mereka memegang jawatan menteri dan timbalan menteri pelbagai portfolio antaranya alam sekitar, perladangan, undang-undang, sains dan teknologi serta wanita keluarga dan masyarakat.
"Ketika itulah kemampuan mereka dinilai. Pengalaman itu sepatutnya digunakan sebaiknya untuk menunjukkan Pas mampu mentadbir dengan pelan strategik berdaya saing dan mampu dicapai,” jelasnya.
Menurutnya, Pas perlu menyuarakan pandangan dalam isu ekonomi agar rakyat dapat menilai sejauh mana perancangan parti itu dalam memastikan ekonomi stabil dan memanfaatkan rakyat.
"Dari segi ekonomi, apa akan dilakukan jika Pas ambil alih kerajaan? Apakah tindakan untuk tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, untuk pastikan rakyat kurang terbeban dengan kos sara hidup.
"Apa perancangan Pas agar barangan asas seperti beras dan minyak masak sentiasa mencukupi.
"Dalam memperkasakan undang-undang, apa tindakan Pas memastikan rakyat terbela dengan pelbagai isu seperti pemandu mabuk, hukuman mati, kebanjiran pendatang tanpa izin dan salah guna kuasa. Ini yang rakyat harapkan daripada parti bertunjangkan Islam,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, pelbagai isu futuristik juga perlu diberikan perhatian khususnya dunia sedang menuju kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui.
"Apa pelan Pas berkaitan AI dan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, air, angin dan bahan api bio. Bagaimana untuk wujudkan industri baharu yang mampu jana pendapatan negara.
"Pemimpin Pas tidak boleh dilihat sekadar mengisi tempat kosong apabila berjaya ambil alih negara. Ketika ini, Pas dilihat sebagai parti ‘pak lebai’ yang sesuai berada dalam majlis keagamaan,” katanya.
Menurutnya lagi, polemik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PN menang pilihan raya umum mencetuskan pelbagai tanggapan.
"Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman menepis dakwaan dengan mengatakan Abdul Hadi tidak kejar jawatan dan jawatan itu boleh diisi golongan teknokrat. Ia menimbulkan dakwaan lain kononnya Pas kekurangan calon berkaliber untuk jawatan penting negara jika berkuasa kelak.
"Calon Perdana Menteri dan menteri portfolio bukan isu utama. Paling penting mereka perlu bijak merealisasikan pelan pembangunan negara yang dirangka sebaik mungkin,” katanya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan tiada desakan dari mana-mana ahli untuk Abdul Hadi diganti kerana parti itu masih memerlukan pandangan dan ketokohannya dalam hala tuju Pas.
Ahli Jawatankuasa Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, tiada keperluan mempertandingkan jawatan tertinggi terutama Presiden pada pemilihan parti akan datang susulan khidmat Abdul Hadi masih relevan untuk terus menerajui parti itu.
Ahli Parlimen Marang itu kekal Presiden Pas selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti bagi sesi 2023-2025. Beliau memikul amanah itu sejak memangku jawatan pada 2003 sebelum disahkan ke jawatan tersebut dalam muktamar 2005.