Gadis tekap sudu panas pada kanak-kanak dijel 10 bulan, denda RM20,000

Iklan
Puteri Nurin Amalina (bertudung) dilihat hadir ke mahkamah dengan menaiki van penjara.

SEREMBAN - Pembantu penjaga kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd(GISBH) dipenjara 10 bulan dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan penganiayaan fizikal terhadap empat kanak-kanak perempuan Ogos tahun lalu.

Hakim, Datin Surita Budin dan Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 21, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Hukuman penjara berkenaan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap 5 September tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 20 bulan bagi semua pertuduhan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut.

Iklan

Tertuduh yang juga pesalah muda turut dikenakan perintah tambahan bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran RM2,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.

Selain itu, mahkamah menetapkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan bagi setiap empat pertuduhan yang berjalan secara berturutan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Iklan

Surita turut mengarahkan tertuduh mengikuti sesi kaunseling oleh pegawai khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantunya cara mengawal kemarahan.

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan sekitar bulan Ogos di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001[Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertindak menekap sudu yang dipanaskan pada lengan empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun dengan terdapat kesan melecur sebagai hukuman kerana mengambil makanan ringan yang tidak dibenarkan.

Pegawai Perintah Khidmat Masyarakat, Azlina Mohd Salleh telah mengemukakan laporan sosial tertuduh yang mana tertuduh anak bongsu daripada enam beradik

Berdasarkan laporan sosial, tertuduh dari keluarga berpendapatan rendah dengan bapanya bercucuk tanam dan ibunya menjual kuih-muih bagi menyara hidup.

Terdahulu, Peguam, Najib Zakaria dalam rayuannya berkata, tertuduh berasa kesal atas apa yang dilakukannya dan tiada niat untuk mengenakan kecederaan serius terhadap mangsa.

Beliau turut memohon mahkamah mengambil kira laporan perubatan mangsa yang menyatakan kecederaan dialami semua mangsa tidak disifatkan sebagai serius.

"Apa yang dilakukan tertuduh dengan menggunakan sudu panas sebagai hukuman kepada mangsa adalah bagi tujuan pendidikan bukannya dengan niat untuk menyebabkan kecederaan yang serius.

"Ia dengan niat untuk mendidik kanak-kanak atau mangsa kerana telah makan keropok, makanan ini tidak dibenarkan," katanya.

Tambahnya, tertuduh juga mahu mengikuti latihan vokasional di Pusat Giat Mara dalam bidang bakeri, masakan atau jahitan selepas selesai menjalani hukuman nanti.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron berkata, Akta Kanak-Kanak diwujudkan adalah untuk melindungi hak kanak-kanak daripada sebarang bentuk penganiayaan.

Menurutnya, tertuduh telah diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak tersebut dan tindakan menekap sudu yang telah dipanaskan dengan api di atas lengan mereka sebagai hukuman kerana makan makanan ringan adalah berlebihan dan melampau.

"Mohon budi bicara mahkamah jatuhkan hukuman sepadan dengan ambil kira faktor kepentingan awam dan sebagai mesej bahawa sebarang bentuk penganiayaan dan kecederaan terhadap kanak-kanak adalah kesalahan serius dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu," katanya.