PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Santan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan disenaraikan dalam 26 barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri yang bermula 24 Mac hingga 7 April depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu bagi memastikan harga santan itu tidak mengalami kenaikan mendadak dan dapat dikawal.
"Harga maksimum santan di bawah SHMMP adalah RM17.5 bagi Semenanjung, RM12 (Sabah), RM9 (Sarawak) dan RM15 (Labuan)," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.
Ujar beliau, bawang merah kecil ros India, bawang merah kecil India dan lobak merah turut menjadi barangan baharu yang tersenarai.
"Tahun lepas kita tidak senaraikan bawang merah kecil ini kerana menghadapi masalah bekalan yang besar selepas India melaksanakan sekatan eksport namun Alhamdulillah kali ini dapat disenaraikan," katanya.
Selain itu, turut tersenarai adalah sawi hijau, timun, tomato, cili merah, kacang panjang, bawang kuning besar, bawang merah besar, bawang putih, ubi kentang import (China), halia tua import, cili kering kerinting, daging kerbau import dan daging lembu import.
Ikan aya atau tongkol, ikan demuduk, sagai, cermin atau cupak, ikan kembung termasuk mabung, ikan selayang, kubis bulat import, kelapa biji dan kelapa parut juga disenaraikan di bawah SHMMP.
Armizan berkata, pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga.
"Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama," ujarnya.
Jelas beliau, analisis yang dilakukan mendapati harga beberapa barang yang di kawal memberi impak positif dalam aspek kos sara hidup kepada pengguna ketika berbelanja untuk menyambut Aidilfitri kelak.
Selain itu, penentuan harga dibuat setelah mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain industri.
"Harga maksimum peringkat pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan untuk skim kali ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my," katanya.
Tambah Armizan, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini," katanya.
Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau keduaduanya atau di kompaun sehingga RM50,000 manakala denda RM500,000 atau kompaun RM250,000.
"Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barangan harga terkawal, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau di kompaun sehingga RM5,000 dan syarikat pula berdepan dengan denda RM20,000 atau kompaun RM10,000," katanya.
Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk membuat aduan salah laku ketidakpatuhan ke atas SHMMP bersama butiran aduan yang lengkap melalui
iWhatsApp 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800, e-aduan@kpdn.gov.my dan aplikasi Ez ADU KPDN.