KUALA LUMPUR - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) telah menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 500 warga Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) sempena program Jaulah Berbuka Pelajar pada Isnin.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Hasni Ahmad berkata, inisiatif itu merupakan salah satu usaha syarikat berkongsi rezeki dan memberikan manfaat kepada komuniti masyarakat terutamanya golongan memerlukan pada bulan Ramadan ini.
"Menerusi Jaulah Berbuka Pelajar, ia dapat memberikan keceriaan kepada para pelajar yang berpuasa jauh daripada keluarga mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Jaulah Iftar Pelajar di UCMI, Taman Batu Muda Caves pada Isnin.
Hadir sama ialah Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UCMI, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UCMI, Profesor Madya Dr Nurul Aliah Mustafa.
Hasni berkata, program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MSM untuk lebih mendekati dan memahami keperluan masyarakat dalam menyalurkan sumbangan kepada komuniti setempat.
Menurutnya, penglibatan dalam program tersebut telah membuka peluang kepada MSM berperanan lebih aktif dalam pembangunan sosial.
"Kami bukan sahaja mahu dikenali sebagai peneraju industri gula tetapi juga sebagai syarikat dan jenama yang aktif dalam menyumbang kepada pembangunan sosial untuk membantu komuniti yang memerlukan.
"Ia memberi kesan positif kepada reputasi MSM dan membentuk kesetiaan pada jenama kami," ujarnya.
Beliau berkata, MSM akan meneruskan program tersebut pada masa akan datang sekali gus memperkukuhkan usahanya terhadap pembangunan sosial dan pendidikan di negara ini.
"Pihak kami juga terbuka untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dan berhasrat untuk menjadi jenama yang lebih dekat di hati masyarakat.
"Ini kali pertama kami menyertai program seperti ini. Melalui unit komunikasi korporat, saya harap ia dapat diteruskan supaya jenama 'Gula Prai' kekal jadi gula nombor satu di Malaysia," katanya.
Pendedahan kepada pelajar
Sementara itu, Noor Inayah berkata, pihaknya menghargai kerjasama antara mahasiswa dengan syarikat konglomerat terutama MSM.
Ujarnya, langkah tersebut telah membantu dan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kerjasama dalam aktiviti kemasyarakatan.
"Pelajar dapat kehidupan sebenar selain tanggungjawab mereka untuk menghadiri kuliah dan terlibat dalam pelbagai aktiviti di asrama.
"Pada zaman teknologi pesat dengan pembangunan kecerdasan buatan (AI), mereka harus didedahkan dengan budaya tanpa mengenal kaum, bangsa dan agama,” kata beliau.
Menurutnya, penglibatan menerusi majlis berkenaan dapat memberi kesan positif selain merapatkan jalinan ukhwah antara mahasiswa, pihak industri, warga kerja universiti, media dan masyarakat.
"Kami berharap lebih banyak peluang kerjasama dapat dilaksanakan antaranya penganjuran program seperti ini kerana kami mempunyai satu lagi kampus UCMI di Kuala Lumpur.
"Mungkin selepas ini kita boleh bersama-sama untuk melihat pelaksanaan program berkenaan di kedua-dua kampus insya-ALLAH,” ujarnya.
Menggalakkan penglibatan mahasiswa
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UCMI, Muhammad Nes Auri Amir berkata, inisiatif program Jualah Iftar Pelajar perlu dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan lebih ramai penglibatan mahasiswa pada masa akan datang.
Jelasnya, langkah tersebut turut membantu mahasiswa berjimat untuk berbuka puasa dan mengeratkan hubungan ukhwah sesama mereka.
"Saya harap UCMI dipilih lagi sebagai salah satu tempat untuk anjuran acara seperti ini. Mungkin kalau sekarang sekitar 500 pelajar sahaja, tetapi selepas ini mungkin angka itu dapat meningkat dan mencapai lebih 1,000 pelajar pada masa akan datang,” jelasnya.