AKHBAR ini baru melaporkan peningkatan rakyat Malaysia sebanyak 0.2 peratus dalam kategori berbelanja atas talian tahun 2023 berbanding 2022 dan 2021 iaitu 70.6 peratus.
Penganalisis ekonomi berpandangan peningkatan ini adalah satu trend yang baik untuk ekonomi negara yang mana dianggarkan seorang rakyat secara puratanya berbelanja sehingga RM50 sehari secara atas talian.
Bagaimanapun keasyikan berbelanja ini perlulah ada hadnya kerana dikhuatiri masyarakat akan dibebani dengan hutang-hutang akibat tidak mengawal perbelanjaan secara sistematik.
Pengenalan kepada konsep ‘beli dulu, bayar kemudian’ (buy now, pay later - BNPL) oleh penyedia platform semakin popular, jelas menimbulkan kebimbangan besar dalam aspek pengurusan kewangan.
Konsep BNPL membolehkan pengguna membeli sesuatu tanpa membayar jumlah penuh secara langsung.
Sebaliknya, bayaran boleh dibuat secara ansuran dalam tempoh tertentu tanpa faedah atau dengan caj minimum.
Ia nampak seperti satu kelebihan, tetapi hakikatnya, ia boleh menjadi perangkap kewangan yang merosakkan, khususnya bagi mereka yang tidak pandai mengurus perbelanjaan.
Sikap berbelanja tanpa kawalan ini boleh menyebabkan masyarakat terbeban dengan hutang tanpa sedar, sama seperti yang terjadi kepada peminjam kad kredit.
Golongan muda, khususnya, lebih cenderung menjadi mangsa trend ini kerana mereka lebih mudah terpengaruh dengan iklan dan kemudahan membeli tanpa wang tunai.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif seperti ada garis panduan ketat bagi penyedia perkhidmatan BNPL agar tidak sewenang-wenangnya menawarkan skim pembayaran tanpa memeriksa kemampuan kewangan pengguna.
Kedua, kempen kesedaran tentang bahaya hutang perlu dipertingkatkan, khususnya kepada generasi muda.
Pendidikan kewangan harus menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah. Pengguna perlu lebih bijak dan berdisiplin dalam berbelanja. Ingatlah, bukan semua yang mudah itu baik.
Fikir sebelum membeli. Jangan sampai diri terjerat hutang yang tidak perlu. Jangan salahkan orang lain jika diri sendiri tidak mampu mengawal nafsu berbelanja. Berbelanja dengan bijak juga adalah lambang kematangan.