SHAH ALAM - DAP tetap menyokong dan mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri serta berjanji tidak akan tikam belakang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa sejarah hitam Langkah Sheraton tidak akan berulang sama sekali.
Menurutnya, tiada keperluan untuk berpaling tadah memandangkan Malaysia kini berada di landasan yang betul di bawah pentadbiran Anwar.
"Dalam tempoh hampir 28 bulan Anwar memerintah, Malaysia kembali ada kestabilan politik. Kerajaan Madani pada hari ini semakin kukuh dan stabil.
"Saya bangga menyatakan bahawa DAP menyumbang kepada kestabilan dan kekuatan Kerajaan Madani kerana DAP tetap memeluk Anwar sepertimana selepas beliau mengangkat sumpah. Kita rakan sejati!
"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kita akan pastikan kesetiaan dan perpaduan mesti diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres ke-18 DAP, bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.
Menerusi kongres tersebut, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP turut diadakan bagi menyaksikan 65 calon berentap merebut 30 tempat dalam jawatankuasa berkenaan.
Proses pemilihan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim sebelum ini memaklumkan, sebanyak 4,203 perwakilan dari 1,650 cawangan layak mengundi pada pemilihan terbabit.
Antara nama utama bagi merebut kerusi CEC itu ialah Anthony, Guan Eng, Steven, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow dan Chong Chieng Jen.
Pemilihan kali ini juga mengetengahkan 15 calon wanita bagi merebut sembilan kerusi yang dikhaskan antaranya Hannah Yeoh, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman, Lim Hui Ying, Vivian Wong, Wong Shu Qi dan Alice Lau.
Mereka yang terpilih dalam CEC akan menerajui barisan kepimpinan DAP bagi penggal 2025 hingga 2028, kemudiannya memilih kepimpinan tertinggi termasuk Setiausaha Agung baharu.
CEC DAP ialah badan pembuat keputusan tertinggi yang mengetuai parti itu bagi menetapkan hala tuju dan dasar, menguatkuasakan perlembagaan parti serta mengambil sebarang tindakan yang difikirkan perlu berdasarkan perlembagaan.