Tapisan teliti pilih 16,035 lot rumah Skim Tanah Rakyat Felda

Iklan
Amizar

BERA - Sekretariat Muafakat Felda Pahang akan menjalankan tapisan secara teliti bagi memilih bakal penerima 16,035 lot rumah di bawah Projek Skim Tanah Rakyat Felda di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, berkata setakat ini, proses permohonan telah dilaksanakan dengan teliti, dipengerusikan oleh pengurus rancangan masing-masing, sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menikmati manfaat tersebut.

"Sebagaimana diarahkan oleh Menteri Besar pada Ahad, semua proses pemilihan penerima lot rumah dalam kalangan generasi baharu Felda akan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Iklan

"Mereka perlu melalui beberapa peringkat, termasuk mengisi borang dan menjalani proses penilaian, sebelum nama mereka diangkat ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Jadi, kita sudah mempunyai sistem yang tersusun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti Felda Sebertak pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, dengan sistem tapisan yang ketat, pihaknya optimis bahawa penerima lot rumah berkenaan merupakan individu yang benar-benar layak tanpa sebarang keciciran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sekretariat tersebut berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan urusan warga Felda di Pahang.

"Kami berharap Sekretariat Muafakat Felda Pahang ini dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada para peneroka, tetapi juga seluruh warga Felda, termasuk generasi baharu yang menetap di dalam atau di luar tanah rancangan.

"Bagi memastikan urusan lebih mudah, sekretariat akan melantik wakil dari setiap daerah bagi membantu warga Felda berhubung terus dengan pihak pengurusan," jelasnya.