UMNO 'menunggang' Tengku Zafrul?

Iklan
Tengku Zafrul

KARIER politik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bermula apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac 2020.

Sebelum menceburi politik, Tengku Zafrul merupakan seorang tokoh korporat terkemuka dan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.

Iklan
Iklan

Peralihan beliau ke dunia politik, termasuk pelantikan sebagai Menteri Kewangan dan kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menimbulkan pelbagai reaksi dan spekulasi mengenai masa depan politiknya.

Beliau aktif dalam UMNO sebelum PRU15 dan telah menjadi ahli sejak 1990-an dan sejak itu, UMNO adalah satu-satunya parti yang beliau sertai. Beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan dipilih mengetuai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja di Selangor.

Iklan
Walaupun seorang yang baru dalam politik, Tengku Zafrul mempunyai pengalaman dalam sektor swasta dan sektor awam yang luas.

Beliau kemudian bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 namun tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Iklan

Baru-baru ini, Tengku Zafrul yang akan tamat tempoh sebagai ahli Dewan Negara pada tahun ini telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan UMNO dan berkemungkinan menyertai PKR. Kecoh satu negara dibuatnya.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Tengku Zafrul mengenai perkara berkenaan dan telah menasihati agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan.

Sehingga kini, anak kelahiran Selangor itu masih merupakan ahli UMNO dan belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai status keahliannya.

Namun masa depan politiknya dalam UMNO bergantung kepada keputusan peribadinya dan perbincangan lanjut dengan kepimpinan parti.

Penganalisis politik pula berpendapat bahawa langkah itu bersifat peribadi dan tidak menandakan perpecahan dalam parti, memandangkan Tengku Zafrul bukanlah pemimpin berpengaruh dalam UMNO.

Tindakan Tengku Zafrul itu turut mendapat kritikan seorang ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi agar tidak mempermainkan UMNO dan menjadikan parti itu sebagai persinggahan sementara dalam kerjaya politik.

Di sebalik spekulasi bertukar parti itu, UMNO Kota Raja yang diterajuinya masih sayangkannya dan tidak mahu kehilangannya kepada PKR.

Timbalannya di Kota Raja, Abdul Raof Mokhtar mengakui satu kerugian kepada UMNO sekiranya Tengku Zafrul keluar dari parti kerana beliau merupakan pemimpin berintegriti dan banyak pengalaman dalam bidang pentadbiran.

Jika Tengku Zafrul berpindah ke parti lain seperti PKR, sudah tentu ia boleh memberi persepsi negatif kepada UMNO kerana seolah-olah kehilangan seorang tokoh hebat dalam kerajaan.

Namun, secara praktikal Kerajaan Perpaduan tidak akan terjejas hanya kerana seorang menteri berpindah parti. Jika Tengku Zafrul meninggalkan parti dan menyertai parti lain, UMNO dilihat kehilangan seorang tokoh yang boleh membantu menarik golongan profesional dan ahli korporat. Oleh kerana beliau bukan pemimpin akar umbi yang mempunyai pengaruh di kawasan-kawasan tradisi UMNO, kesan ini dijangka kecil.

Pada sisi yang lain, masa depan UMNO itu sendiri bergantung kepada kemampuan parti itu untuk melakukan pembaharuan dalaman, menarik sokongan generasi muda dan menyesuaikan diri dengan dinamika politik semasa.

Kukuh strategi

Dengan landskap politik Malaysia yang semakin kompetitif, UMNO perlu mengukuhkan strategi dan dasar-dasarnya untuk kekal relevan dalam arus politik negara. Hampir setengah penggal berlalu, masih tidak kelihatan hala tuju yang jelas untuk mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu.

Selepas beberapa pemimpin muda seperti Khairy Jamaludin dibuang daripada parti dan beberapa pemimpin lain pula digantung, manakala bintang muda seperti Tengku Zafrul memikirkan untuk meninggalkan UMNO, ini memberi impak yang tidak bagus buat parti tersebut.

Walaupun seorang yang baru dalam politik, Tengku Zafrul mempunyai pengalaman dalam sektor swasta dan sektor awam yang luas. Beliau dilihat sebagai tokoh yang mampu mengembalikan kepercayaan pengundi Melayu kepada UMNO.

Mungkin beliau tidak mempunyai pengaruh akar umbi yang kuat seperti pemimpin tradisional UMNO yang lain, tetapi Tengku Zafrul mempunyai rekod dalam kerajaan dan hubungan baik dengan sektor korporat.

Beliau masih muda dan UMNO dengan cara yang lama, banyak pihak berpendapat bahawa parti itu tidak akan berjaya bangkit sebagai parti politik yang dominan lagi.

UMNO akan kehilangan Zafrul kerana beliau seorang menteri yang bekerja dan UMNO selama ini ‘menunggang’ Tengku Zafrul untuk menunjukkan mereka perform dalam Kerajaan Madani.

Sejak dilantik sebagai Menteri Kewangan dan kini sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul menunjukkan prestasi yang baik, terutama dalam menarik pelaburan asing dan mengurus ekonomi negara.

Beliau lebih banyak berperanan dalam kerajaan yang memberi manfaat kepada UMNO dari segi dasar dan hubungan dengan pelabur. Antara kejayaan besarnya ialah membawa masuk pelaburan besar dari syarikat global dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi.

Keistimewaan Tengku Zafrul juga terletak pada kepakaran ekonominya, pengalaman dalam sektor kewangan dan imej profesional yang bersih.

Walaupun beliau bukan pemimpin politik tradisional, kebolehannya dalam mengurus ekonomi dan menarik pelaburan menjadikannya aset penting dalam kerajaan.Teknokrat

Berbeza dengan pemimpin UMNO lain yang membina karier mereka melalui cawangan dan bahagian, Tengku Zafrul lebih dikenali sebagai teknokrat dan bukan pemimpin akar umbi. Tidak bermakna UMNO tidak boleh menggunakan kredibilitinya dalam kerajaan.

Beliau tidak pernah terpalit dengan skandal politik atau isu rasuah yang sering dikaitkan dengan pemimpin UMNO lain, ini menjadikannya lebih mudah diterima oleh golongan profesional, usahawan dan masyarakat bandar.

Justeru jika UMNO mahu membina imej sebagai parti yang mampu menarik golongan profesional dan teknokrat dan Tengku Zafrul adalah contoh terbaik.

Malah, kehadirannya dalam parti boleh membantu UMNO menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar parti politik tradisional tetapi juga boleh membawa masuk pemimpin dari sektor korporat.

UMNO sebenarnya menampilkan Tengku Zafrul sebagai ‘aset’ mereka dalam Kerajaan Perpaduan walaupun beliau mungkin tidak mempunyai pengaruh besar dalam parti sendiri.

Mengimbas kembali, Tengku Zafrul menjadi Menteri Kewangan semasa krisis Covid-19 melanda Malaysia. Beliau bertanggungjawab merangka pelbagai pakej rangsangan ekonomi seperti Prihatin, Penjana, Pemerkasa dan sebagainya untuk membantu rakyat dan perniagaan menghadapi krisis.

Walaupun bukan ahli politik ketika itu, Tengku Zafrul berjaya mengurus ekonomi negara dalam keadaan sukar.

Pada 6 November 2020, Tengku Zafrul telah membentangkan belanjawan 2021 di Dewan Rakyat demi memastikan kelangsungan ekonomi negara dan juga memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Beliau turut dilihat sebagai seorang yang ‘unik’ kerana telah berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri – Menteri Kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, mengekalkan portfolio itu bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini dalam Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai seorang teknokrat, menyertai UMNO memberinya laluan lebih mudah ke dalam dunia politik. Tanpa UMNO, beliau mungkin tidak akan mendapat kedudukan tinggi dalam kerajaan dengan begitu cepat.

Beliau perlu membina semula kredibiliti politiknya di peringkat akar umbi untuk kekal relevan dalam politik. Namun jika merasakan dirinya hanya dipergunakan tanpa mendapat pengaruh yang setimpal, beliau boleh mempertimbangkan untuk berpindah ke parti lain.

Justeru, jika Tengku Zafrul berhasrat untuk berpindah parti, pilihan terbaiknya ialah menyertai parti yang boleh menjamin kedudukan politik dan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

*Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian