PEKAN – Seorang penyelia ladang maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor ayam hutan sebelum terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kampung Simpai, Jalan Kuantan-Segamat, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.38 malam itu, mangsa, Mohamad Razwan Aiykal Rejab, 21, dari Kampung Nara, Pasir Puteh, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Ducati Panigale 1199 dalam perjalanan ke Segamat.
"Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa melanggar ayam hutan yang tiba-tiba melintas jalan, menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas.
"Motosikal yang ditunggang mangsa kemudian bergesel dengan sebuah kereta Nissan Almera yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun sebelum merempuh tiang elektrik di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pemandu kereta Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambah Mohd Zaidi, hasil siasatan polis mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan selepas melanggar ayam hutan tersebut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.