MUAR – Hasrat seorang suri rumah untuk meraih keuntungan mudah bertukar mimpi ngeri apabila wang simpanannya sebanyak RM412,443 lesap selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, wanita berusia 58 tahun itu membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada Jumaat.
Menurutnya, mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan pelaburan dalam talian.
"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudian memuat turun satu aplikasi pelaburan dan membuat pelaburan permulaan sebanyak RM500. Dalam tempoh 24 jam, dia menerima keuntungan RM67.
"Melihat keuntungan yang diperoleh, mangsa terus menambah pelaburan selepas diyakinkan individu terbabit bahawa keuntungan lebih besar menanti jika jumlah pelaburan ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa membuat 35 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza, berjumlah RM412,443 dalam tempoh 23 Januari hingga 6 Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, mangsa mula curiga apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan yang dikatakan terkumpul dalam aplikasi berkenaan.
"Wanita itu menyemak semula aplikasi tersebut dan mendapati tiada sebarang keuntungan diperoleh. Dia akhirnya sedar telah ditipu dan mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM412,443, yang merupakan hasil simpanannya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan," ujarnya.