'Bukan tamak tapi tak pasti ada rezeki lain atau tidak'

Iklan
Antara sukarelawan yang terlibat dalam Projek Jalinan Kasih.

KUANTAN - Sebungkus makanan mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah orang, tetapi bagi mereka memerlukan ia adalah rezeki yang amat dihargai.

Malah, ada segelintir penerima sanggup meminta lebihan juadah untuk dijadikan bekalan sahur kerana mereka tidak pasti ada rezeki lain atau tidak menanti pada esok hari.

Iklan
Iklan

Sukarelawan, Noordeyana Mohd Rashdi, 42, berkata, permintaan seperti itu bukan perkara luar biasa setiap kali agihan makanan percuma diadakan pada hari Jumaat sepanjang Ramadan ini.

NOORDEYANA

Iklan

"Saya tahu mungkin ada makanan yang diterima bukan hanya untuk berbuka tapi juga untuk sahur. Mungkin bagi mereka apa yang ada belum tentu cukup untuk esok.

"Kalau mereka ambil lebih pun tak mengapa sebab saya tahu mereka akan simpan untuk keesokan hari. Bukan kerana tamak tapi mereka tidak pasti ada rezeki lain atau tidak," katanya ketika ditemui lokasi agihan juadah di hentian bas pokok Buluh berhampiran Mahkota Square di sini pada Jumaat.

Iklan

Noordeyana memberitahu, inisiatif iftar percuma itu dilaksanakan bersama beberapa sukarelawan lain melalui Projek Jalinan Kasih itu bagi membantu golongan gelandangan, asnaf dan pekerja serta pelajar yang cuba mengurangkan perbelanjaan harian.

Noordeyana mengagihkan juadah berbuka puasa kepada penerima.

Jelasnya, usaha tersebut dilakukan demi memastikan insan lain bergembira meskipun kadangkala mereka perlu mengeluarkan modal sendiri bagi memastikan tiada penerima tercicir.

"Kadang-kadang makanan habis, saya sendiri akan beli sekurang-kurangnya roti dan air sebab tahu mereka benar-benar memerlukan.

"Ada penerima yang berulang kali datang setiap minggu kerana ia sudah menjadi satu keperluan untuk mereka.

"Bila tengok ada ibu bawa anak-anak kecil ambil makanan dengan wajah gembira, saya rasa puas hati sangat,” katanya lagi.

Walaupun pernah terlintas untuk berehat seketika, beliau mengakui projek jalinan kasih sudah menjadi tanggungjawab yang sukar dihentikan.

"Pernah masa raya, saya terfikir nak berhenti sekejap. Tapi bila tengok mereka tetap datang dan menunggu, saya rasa tidak sampai hati.

"Mahu tidak mahu, saya teruskan juga walaupun hanya dengan membeli roti dan air untuk mereka,” ujarnya yang memulakan aktiviti tersebut sejak 14 tahun lalu dengan nama Breakfast for Free sebelum ini.

Penerima beratur bagi mendapatkan juadah berbuka puasa di lokasi agihan juadah di hentian bas pokok Buluh berhampiran Mahkota Square di sini padaJumaat.

Menurutnya, sesiapa yang ingin menyumbang boleh melakukannya dalam bentuk makanan, wang tunai atau sekadar membantu dalam pengagihan.

"Kalau tiada duit atau makanan untuk disumbangkan tidak mengapa. Boleh saja datang dan bantu kami mengagihkan juadah. Sumbang tenaga dan masa pun sudah cukup bermakna," katanya.

Sementara itu, pesara tentera, Suhami Ahmad Hassan, 58, tidak menyangka akan menerima juadah percuma ketika singgah di bandar ini.

SUHAIMI

"Saya datang nak beli kuih di bazar Ramadan, tiba-tiba kawan beritahu tentang juadah percuma ini.

"Jadi, bila dah ada di sini, lebih baik ambil. Syukur sangat, sekurang-kurangnya dapat jimat belanja," katanya.

Suri rumah, Norisis Abdul Rahman, 38, dari Kemaman berkata, program tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan perbelanjaannya, terutama ketika keluar bersama keluarga.

Norisis bersama ahli keluarga turut menerima juadah berbuka percuma di lokasi agihan juadah di hentian bas pokok Buluh berhampiran Mahkota Square di sini pada Jumaat.

"Selalu kalau makan di luar boleh cecah RM200. Alhamdulillah, hari ini dapat makanan percuma jadi kuranglah belanja.

"Bukan senang nak dapat peluang macam ini," ujarnya yang datang ke Kuantan untuk membeli pakaian raya.