KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi menu yang dimakan setiap kali bersahur dan berbuka puasa di rumahnya semasa Ramadan ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ahmad Samsuri menyatakan beliau secara konsisten memilih sebiji kurma, minuman jenis smoothie iaitu pisang atau avocado, dua butir telur atau sumber protein lain sebagai juadah bersahur di rumah.
Selain itu katanya, menu berbuka puasanya pula adalah sebiji kurma, sedikit kuih-muih dan minuman jenis smoothie campuran buah dan oat atau muesli serta buah-buahan
Ahmad Samsuri memberitahu beliau tidak makan nasi sepanjang Ramadan sama ada berbuka di rumah atau di luar.
"Ada yang dah bertanya kepada saya, apa yang saya makan untuk berbuka puasa dan sahur di rumah? Terdiam dan serba salah saya. Puncanya kerana mungkin ada yang hairan dan ingin bertanya lagi kenapa saya makan begitu...susah nak jawab.
"Bulan Ramadan ini semasa berbuka, kalau di rumah saya makan sebiji kurma dan sedikit kuih-muih, smoothie campuran buah dan oat atau muesli serta buah-buahan.
"Itu sahaja...moreh tak tentu. Kalau ada kuih dan buah yang bersesuaian dan saya tidak minum air yang mengandungi gula atau susu pekat," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan beliau makan apa sahaja yang ada namun dalam kuantiti satu perempat atau suku pinggan selain tidak mengambil nasi atau roti putih semasa Ramadan ini.
"Jika ada yang kena dengan selera, saya ambil sedikit lauk-pauk yang 'soft' dan sayur-sayuran dalam jumlah yang sedikit.
"Saya tak makan nasi sepanjang Ramadan, sama ada di rumah atau ketika berbuka di luar. Bersahur? Konsisten setakat ini sebiji kurma, smoothie pisang atau avocado dan dua butir telur atau lain-lain sumber protein.
"Bagi saya, jika diet selain nasi, saya boleh bertahan hingga berbuka tanpa iringan keroncong. Makan nasi bermakna jam 11 pagi sudah berbunyi muzik," ujarnya.