Kursus Pembangunan Kapasiti galak pengamal perubatan tradisional berdaftar

Iklan
Syed Mahdi Barakbah (kiri) bersama Shamsudin.

ALOR SETAR - Kursus Pembangunan Kapasiti (KPK) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu diteruskan bagi memudahkan urusan pendaftaran pengamal perubatan tradisional Melayu.

Pengerusi Pertubuhan Pengamal Perubatan Warisan Tradisional Malaysia, Shamsudin Ismail berkata, kursus yang sepatutnya tamat pada Februari lalu dilanjutkan sehingga Ogos depan disebabkan ramai pengamal belum berdaftar dengan KKM selain mendapat permintaan tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kursus berkenaan wajar diteruskan dan diwajibkan kepada semua perawat Melayu yang berhasrat berdaftar dengan KKM berikutan pembelajaran sepanjang kursus tersebut sangat bermanfaat.

"Dalam kursus ini ada banyak maklumat berguna yang perlu diketahui oleh pengamal perubatan Melayu, antaranya prosedur dan tatacara pelaksanaan bidang perubatan bagi pengamal perubatan tradisional Melayu.

Iklan

"Perkongsian ilmu amalan daripada penyampai kursus berpengalaman ini penting sebagai garis panduan kepada bakal perawat baharu. Silibus kursus menyeluruh daripada cara merawat sehingga persediaan sebelum dan selepas rawatan,” ujarnya.

Shamsudin yang juga Pengerusi Persatuan Perawat Melayu Islam Malaysia berkata, nasihat dan bimbingan yang diberikan juga dapat mengelak berlakunya masalah berbangkit kepada pesakit mahupun perawat.

Iklan

"Contohnya, perubatan tradisional perlu diselarikan dengan perubahan zaman (moden) dan agama. Sejarah perubatan itu sendiri adalah dapatan kepada rawatan yang berkesan.

"Dakwaan dari keturunan juga bukan kriteria utama, ini akan menjadikan rawatan tidak sistematik tanpa garis panduan. Adalah penting KPK diteruskan kepada pengamal sebagai pengetahuan sepanjang hayat yang dapat dimanfaatkan,” katanya.

Menurutnya, kursus yang dibangunkan oleh panel terdiri daripada pakar-pakar dalam industri tersebut dipilih oleh Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplimentari, KKM.

"Antara objektifnya untuk menyediakan pengamal yang berdaftar melalui pengalaman terdahulu tetapi tidak mencukupi syarat untuk mendapat kelulusan terus. Syaratnya ialah berumur 50 tahun ke atas dan pengalaman lebih 10 tahun,” jelasnya.

Syed Mahdi berkata, KPK disifatkan menjadi medium penting dengan memberi kelonggaran khas kepada pengamal berpengalaman berdaftar walaupun mereka tidak mempunyai kelulusan akademik atau kemahiran.

"Ia juga mengiktiraf pengamal tempatan bersaing dalam industri perubatan negara selain amalannya selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengintegrasikan perubatan tradisional, komplimentari dan moden.

"Malah KKM dapat memantau dalam memastikan amalan yang digunakan selamat kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, maklumat disalurkan menerusi KPK dapat menambah baik pengamal perubatan tradisional dalam pelbagai aspek termasuk bidang amalan diceburi selain peserta dapat mengetahui indikasi dan kontraindikasi dalam aplikasi amalan.

"Peserta juga tidak terikat dengan tempoh pembelajaran terlalu lama, 107 jam sahaja malah mereka dapat menjalin rangkaian dan berkongsi pengalaman sesama mereka,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, Dr Tajul Iqmal Tajul Arus memaklumkan, bermula 1 Mac, pengamal perubatan tradisional tidak berdaftar dengan KKM boleh dikenakan tindakan undang-undang, termasuk denda dan penjara di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775).

Ia berikutan fasa dua penguatkuasaan akta itu yang bermula 1 Mac 2021 untuk pengamal perubatan tradisional berdaftar dengan KKM, tamat pada 28 Februari.