'Acik tak sedarkan diri akibat dirempuh jemaah di Masjidilharam'

Iklan
Muhammad Farhan dan Shamsul Azrin yang berasal dari Kedah memulakan misi berjalan kaki dari Bertam di sini ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah pada 3 Februari lalu.

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Dua sahabat dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang menunaikan umrah dengan berjalan kaki ke Makkah berdepan situasi cemas apabila salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius selepas dipijak jemaah yang berebut mencium hajar aswad di Masjidilharam, pada Rabu

Berikutan kejadian itu, mangsa, Muhammad Farhan Khadid, 34, yang lebih dikenali sebagai Acik dilaporkan tidak sedarkan diri dan kini dirawat di hospital berhampiran.

Iklan
Iklan

Rakannya, Shamsul Azrin Man, 43, berkata, kejadian berlaku ketika mereka berdua sedang beribadah dan berdoa di depan Kaabah selepas solat Isyak.

"Ketika kami hendak beredar dari kawasan Hajar Aswad, ribuan jemaah menyerbu untuk mencium batu suci itu dan mereka merempuh kami. Kami terpisah dan jatuh ke lantai.

Iklan

"Acik tidak sedarkan diri akibat dirempuh, namun Alhamdulillah, seorang jemaah Arab membantu mengangkatnya dari lantai ketika dia sedang dipijak,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, Muhammad Farhan mengalami kecederaan serius di bahagian lutut, kaki dan paha.

Iklan

"Saya berharap Acik segera sembuh supaya kami dapat meneruskan ibadah umrah kerana kami dijadualkan pulang ke Malaysia pada 30 Mac ini,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Muhammad Farhan dan Shamsul Azrin yang berasal dari Kedah memulakan misi berjalan kaki dari Bertam di sini ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah pada 3 Februari lalu.

Mereka yang berjalan kaki dari Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas ke Hatyai kemudiannya menaiki penerbangan ke Jeddah untuk ke Madinah dan akhirnya tiba di Mekah bagi menunaikan umrah sepanjang Ramadan.