GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang dicadangkan menaikkan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebanyak 20 peratus atau RM100,000 setiap seorang.
Cadangan dengan implikasi kewangan kira-kira RM4 juta itu dikemukakan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-Bertam) ketika membahas Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Reezal berkata, cadangan itu dikemukakan bagi memperkukuh keupayaan wakil rakyat menyampaikan khidmat kepada masyarakat, mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang mencatatkan baki Akaun Disatukan Negeri sekitar RM600 juta.
Menurutnya, Belanjawan 2027 disifatkan antara belanjawan terbaik namun kemakmuran kewangan negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
“Dengan mengambil kira kedudukan Akaun Disatukan Negeri yang kini mencatatkan baki sekitar RM600 juta, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Pulau Pinang mempertimbangkan kenaikan peruntukan kepada semua ADUN sebanyak 20 peratus, bersamaan RM100,000 bagi setiap ADUN.
“Implikasi kewangan bagi cadangan ini hanya kira-kira RM4 juta, termasuk untuk ADUN pembangkang. Jumlah ini kecil berbanding kedudukan kewangan negeri tetapi cukup bermakna untuk memperkukuh keupayaan wakil rakyat menyampaikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu juga selari dengan hasrat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk membawa Enakmen Peruntukan Pembangunan Sama Rata (Equal CDF) yang akan mewujudkan prinsip kesaksamaan dalam pemberian peruntukan kepada semua kawasan DUN.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti cadangan penggubalan Equal CDF seperti disarankan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP agar mekanisme berkenaan diwujudkan baru-baru ini.
Kon Yeow dilaporkan berkata, beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri menyediakan draf enakmen berkenaan yang kemudiannya dibentangkan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam pada itu, Reezal Katanya, Pulau Pinang berpotensi menjadi antara negeri terawal melaksanakan prinsip berkenaan sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap keadilan dalam pengagihan peruntukan tanpa mengira kedudukan politik wakil rakyat.
“Saya percaya ini merupakan amalan terbaik yang wajar disokong. Sekiranya perlu, pertimbangkan juga mekanisme Confidence and Supply Agreement (CSA) bagi memastikan keharmonian dan kerjasama dalam Dewan.
“Akhirnya, matlamat kita bukan soal kerajaan atau pembangkang, tetapi memastikan setiap rakyat Pulau Pinang mendapat pembelaan dan manfaat yang sewajarnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan berkenaan cadangan mewujudkan undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan sama rata antara semua ADUN telah dibangkitkan di peringkat kepimpinan DAP.
Sebelum ini, turut dilaporkan bahawa kerajaan negeri akan menunggu pandangan kepimpinan nasional DAP berhubung cadangan berkenaan, selain memaklumkan bahawa ADUN pembangkang di Pulau Pinang ketika ini menerima peruntukan kawasan sebanyak RM60,000 setiap seorang.