Cubaan seludup 83,000 benih udang kara gagal

Iklan
Benih udang kara yang dipercayai diseludup dari negara jiran ke negeri Johor tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia. Foto: Maritim Malaysia Johor

PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menggagalkan cubaan menyeludup 83,000 benih udang kara yang dianggarkan bernilai hampir RM500,000 dalam satu operasi khas di perairan Tanjung Piai pada Khamis.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan Op Khas Pagar Laut 1/2025 yang dilancarkan pada 12 Mac lalu.

Iklan
Iklan

"Bot ronda Maritim mengesan sebuah bot mencurigakan bergerak dari Batu Pahat menuju ke Gelang Patah.

"Bot tersebut dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia pada kedudukan 0.1 batu nautika tenggara Sungai Boh, kira-kira jam 2.30 pagi.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 17 kotak polisterin berisi kira-kira 83,000 benih udang kara yang dipercayai diseludup dari negara jiran ke negeri Johor tanpa kebenaran Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, dalam pemeriksaan tersebut, seramai tiga lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 33 tahun yang berada dalam bot berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

Kes disiasat di bawah Seksyen 40(1) Akta Perikanan 1985 kerana mengimport atau mengeksport ikan hidup tanpa permit yang sah.

Bot bersama kesemua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor, Sungai Pulai untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia Negeri Johor akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan di perairan negeri bagi membanteras jenayah rentas sempadan menjelang musim perayaan.

Orang ramai juga diharap dapat menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti jenayah maritim menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di 07-2199402.