PN lancar jentera PRK DUN Ayer Kuning esok

Iklan
Pelancaran jentera PN bagi PRK DUN Ayer Kuning bakal disempurnakan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Padang Awam Tapah Road, Tapah bermula jam 10 malam, Sabtu.

IPOH - Perikatan Nasional (PN) menjadi parti terawal melancarkan jentera kempen secara rasmi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning esok (Sabtu).

Pengarah Pilihan Raya Pas Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz berkata, pelancaran tersebut dibuat sebagai membuktikan kesediaan jentera pilihan raya PN dalam menghadapi PRK tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, majlis pelancaran tersebut dijadual akan disempurnakan oleh Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Padang Awam Tapah Road, Tapah bermula jam 10 malam.

"Sebenarnya gerak kerja pilihan raya sudah pun dimulakan lebih awal oleh jentera di semua UDM (Unit Daerah Mengundi) di DUN Ayer Kuning ini, cuma malam esok secara rasmi kita lancarkan.

Iklan

"Pada majlis itu nanti, ada penyampaian watikah kepada petugas jentera PRK DUN Ayer Kuning ini selain ucapan serta amanat daripada pimpinan tertinggi PN," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Fakhrudin berkata, pada majlis tersebut hanya gimik pelancaran dan ucapan pimpinan sahaja yang akan diadakan, manakala pengumuman calon hanya dibuat menjelang hari penamaan calon nanti.

Iklan

Menurutnya, antara pimpinan yang akan menyampaikan ucapan pada majlis itu termasuklah Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, dan beberapa wakil parti komponen PN.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK DUN Ayer Kuning menjelaskan bahawa jawatankuasa pilihan raya di peringkat PN telah dibentuk di peringkat negeri dan pusat bagi memastikan perjalanan kempen lancar.

Mohd Fakhrudin

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Fakhrudin berkata, semangat jentera PRK DUN Ayer Kuning ketika ini berada pada tahap tertinggi untuk memberi saingan sengit kepada parti lain yang bertanding.

"Semangat bekerja oleh jentera akar umbi ketika ini sangat tinggi kerana persefahaman yang baik di antara parti-parti di dalam PN memandangkan kerusi DUN tersebut terus ditandingi oleh Pas.

"Respons dari negeri-negeri lain juga amat positif untuk membantu jentera PN negeri Perak memenangkan calon PN yang akan diumumkan nanti," katanya yang juga ADUN Kamunting.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu selepas menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi kerusi DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memperoleh majoriti 2,213 undi dalam persaingan lima penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh bagi Penamaan Calon PRK DUN Ayer Kuning akan dilaksanakan pada 12 April depan, diikuti Undi Awal pada 22 April, manakala tarikh mengundi ditetapkan pada 26 April membabitkan 31,897 pengundi berdaftar.