RM1.1 bilion kepada Sapura Energy 'bailout' atau pelaburan strategik? - Hassan Karim

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.

PASIR GUDANG - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan suntikan dana sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd adalah satu bentuk 'bailout' mengikut definisi sebenar 'bailout' walaupun kerajaan menyatakannya sebagai pelaburan strategik.

Menurut beliau, perkataan 'bailout' atau menyelamatkan syarikat dengan suntikan wang rakyat adalah istilah yang sering digunakan sejak era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ketika itu kerajaan turut menyuntik dana besar untuk menyelamatkan beberapa syarikat besar seperti Perwaja, Bank Bumiputera, dan Malaysia Airlines (MAS), namun semua usaha tersebut berakhir dengan kegagalan.

"Pada zaman Dr Mahathir, kerajaan memberi alasan kepentingan nasional dan hujah berbaur kaum untuk melaksanakan bail out, dengan tujuan menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang dianggap penting bagi negara.

Iklan

"Begitu juga dengan tindakan kerajaan yang kini memberikan dana kepada Sapura Energy, yang dikatakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran kepada lebih 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah syarikat Bumiputera.

"Kerajaan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak, RM1.1 bilion, untuk menyelamatkan Sapura Energy. Itu 'bailout' lah namanya," tegasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Hassan juga menyatakan bahawa alasan yang diberikan oleh kerajaan untuk tidak membiarkan Sapura Energy gagal adalah hampir sama dengan hujah yang digunakan semasa era Dr Mahathir.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil masing-masing berhujah bahawa jika kerajaan tidak menyelamatkan Sapura Energy, Malaysia terpaksa bergantung kepada syarikat perkhidmatan asing dan akan dianggap mengkhianati orang Melayu," ujarnya.

Hassan menyifatkan istilah 'pelaburan strategik' yang digunakan oleh kerajaan kini sebagai cubaan untuk menyembunyikan hakikat sebenar iaitu 'bailout'.

"Beliau mengingatkan bahawa walaupun nama istilah berubah, tujuan yang sama masih diteruskan untuk menyelamatkan syarikat dengan wang rakyat.

Hassan menegaskan bahawa tindakan kerajaan perlu lebih telus dan berhati-hati, agar tidak mengulangi kesilapan yang sama seperti yang berlaku pada masa lalu.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan menafikan dakwaan bahawa suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) merupakan satu bentuk ‘bailout’ bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.

Fahmi menegaskan bahawa dana tersebut adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk saham boleh ditukar, bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.