SELEPAS perdebatan hangat isu bailout, kerajaan akhirnya mengesahkan suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd bukanlah dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula oleh syarikat tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, suntikan dana itu juga bukan satu bentuk bailout, sebaliknya untuk membantu sekitar 2,000 vendor dengan 80 peratus adalah vendor bumiputera, yang terkesan akibat masalah kewangan dihadapi syarikat berkenaan.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui proses ketat termasuk pelaksanaan audit forensik oleh firma perakaunan antarabangsa Ernst & Young bagi mengenal pasti masalah sebenar dalam syarikat tersebut.
Isu bailout sememangnya pernah kontroversi di Malaysia khususnya melibatkan Bumiputera Malaysia Finance (BMF) dan Perwaja Steel pada 1980-an, tetapi kedua-dua entiti itu akhirnya lenyap.
Beberapa projek lain pula pernah di bailout dengan cara diambil alih oleh syarikat milik kerajaan.
Ini termasuk LRT Putra-Kelana Jaya yang diambil alih oleh Prasarana dengan nilai RM5.3 bilion pada 2002, LRT2 Star-Ampang (RM3.3 bilion, 2002), dan KL Monorail (RM882 juta, 2007).
Dua contoh klasik bagaimana bantuan kerajaan berjaya menyelamatkan syarikat strategik negara ialah Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan Proton Holdings.
Dari tahun 2001 hingga 2014, MAS menerima suntikan dana sebanyak RM17.4 bilion daripada kerajaan.
Pada 2017, Khazanah Nasional Bhd, memperuntukkan RM6 bilion lagi bagi penstrukturan semula MAS. Pada 2023, MAS kembali mencatat untung bersih RM766 juta selepas 10 tahun rugi berturut-turut.
Proton pula, sebuah syarikat milik swasta sepenuhnya, diselamatkan kerajaan pada 2016 dengan pinjaman mudah RM1.5 bilion bagi membolehkan ia membayar balik hutang kepada vendor dan menyelamatkan kira-kira 30,000 kakitangan Proton.
Cara ini mirip dilakukan kerajaan terhadap Sapura Energy sekarang. Selepas kemasukan Geely pada 2017, Proton terus mencatat prestasi memberangsangkan termasuk berjaya menjual 152,352 unit kereta pada 2024.
Ternyata, sesebuah kerajaan wajar membantu syarikat bermasalah namun mestilah ada alasan yang kukuh serta kajian menyeluruh.
Paling penting, pantau setiap sen bantuan yang dikeluarkan kerajaan supaya ia diurus dengan cekap dan tidak hangus begitu sahaja.