4 individu ditahan miliki dadah, pistol tiruan beserta 50 peluru

Iklan
Sepucuk pistol tiruan jenis Glock 17 Austria dengan 50 bir peluru yang dirampas hasil serbuan polis di sebuah rumah di Paya Panjang, Bukit Pasir, Muar. Foto IPD Muar

MUAR – Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan dalam satu serbuan polis di sebuah rumah di Paya Panjang, Bukit Pasir, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil daripada serbuan itu, polis menemukan dadah, sepucuk pistol tiruan dan 50 butir peluru hidup.

Iklan
Iklan

"Keempat-empat suspek berusia antara 30 hingga 37 tahun dan mereka tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.

"Hasil pemeriksaan dalam rumah suspek menemukan satu kotak perhiasan yang mengandungi sepucuk pistol tiruan jenis Glock 17 Austria serta satu kotak peluru dengan 50 butir peluru hidup.

Iklan

"Turut ditemui satu peket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.63 gram dan satu peket plastik lutsinar berisi serbuk berwarna keperangan disyaki dadah jenis heroin seberat 2.03 gram,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek menunjukkan keputusan positif bagi dadah jenis methamphetamine serta mereka juga mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Iklan

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Muar untuk mendapatkan perintah reman.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Raiz Mukhliz mengingatkan orang ramai bahawa penyimpanan atau pemilikan senjata api hanya boleh dilakukan oleh individu yang memiliki lesen yang sah daripada pihak berkuasa.