Cuepacs mohon kerajaan beri bantuan khas Aidilfitri

Iklan
Cuepacs berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban perbelanjaan sempena perayaan tersebut. (Gambar kecil: Adnan Mat)

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam bagi meringankan beban perbelanjaan sempena perayaan tersebut.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, bantuan khas tersebut dapat membantu penjawat awam menguruskan keperluan kewangan dengan lebih baik dalam keadaan kos sara hidup yang masih tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Aidilfitri sinonim dengan peningkatan perbelanjaan, khususnya bagi mereka yang perlu membuat persiapan pulang ke kampung halaman, menyediakan keperluan asas keluarga serta memenuhi keperluan pendidikan anak-anak.

"Sebagai tulang belakang perkhidmatan kerajaan, penjawat awam sentiasa komited menjalankan tanggungjawab mereka kepada negara.

Iklan

"Cuepacs amat menghargai perhatian dan pertimbangan kerajaan terhadap permohonan ini demi kesejahteraan penjawat awam yang terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan serta tanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Adnan turut menjelaskan bahawa BKK bukan sahaja dinantikan oleh penjawat awam, malah turut memberi manfaat kepada peniaga bazar Ramadan dan peruncit yang bergantung kepada peningkatan kuasa beli rakyat untuk meningkatkan hasil jualan.

Iklan

"Kesan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk usahawan kecil, peniaga makanan serta sektor perkhidmatan lain yang bergantung kepada peningkatan perbelanjaan rakyat menjelang perayaan,” ujarnya.

Beliau menambah, walaupun penjawat awam baru sahaja menikmati kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan, pemberian BKK yang menjadi tradisi setiap kali menjelang Aidilfitri tetap amat dihargai bagi memastikan kesejahteraan mereka dan keluarga dalam membuat persiapan perayaan.