McDonald’s Malaysia eratkan silaturahim bersama komuniti

Iklan
Seramai 50 asnaf dan komuniti Masjid Al-Ikhlas menerima Kotak Rezeki sumbangan McDonald’s Malaysia.

SHAH ALAM - Tahun demi tahun, McDonald’s Malaysia menganjurkan pelbagai program bermanfaat untuk mengimarahkan Ramadan dengan menyantuni komuniti melalui aktiviti kemasyarakatan antaranya menaja moreh di masjid dan surau.

Bagi McDonald’s Malaysia, Ramadan adalah lebih daripada sekadar bulan ibadah, ia merupakan masa untuk menyantuni serta menyebarkan kebaikan kepada komuniti setempat.

Iklan
Iklan

Syarikat yang mengendalikan lebih 370 rangkaian restoran itu bersama menuai usaha mengimarahkan bulan Ramadan sejak 2015.

Pada tahun ini, McDonald’s Malaysia sekali lagi tampil dengan Program Kongsi Rezeki Ramadan untuk mengeratkan silaturahim dan membantu mereka yang memerlukan pada bulan Ramadan.

McDonald’s Malaysia mengedarkan 1000 pek bubur lambuk termasuklah pasukan Polis Diraja Malaysia.

Iklan

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, Masjid Al-Ikhlas, Shah Alam menjadi lokasi tumpuan kedua yang dikunjungi restoran khidmat segera itu dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan.

"Pelbagai aktiviti telah diadakan bertujuan mengeratkan silaturahim seperti mengedarkan 1000 pek bubur lambuk, menyumbangkan Kotak Rezeki kepada asnaf dan keluarga yang memerlukan, majlis berbuka puasa dan sumbangan moreh hidangan McDonald’s kepada warga kariah yang hadir,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, lebih istimewa, syarikat itu turut mengundang Ustazah Asma' Harun untuk menyampaikan tazkirah sebelum berbuka puasa sebagai usaha untuk mengimarahkan majlis ilmu sempena bulan yang mulia ini.

"Usaha-usaha ini menyerlahkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam memberi impak yang positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasi restoran, termasuk mengimarahkan peranan masjid sebagai pusat ukhuwah dan keilmuan.

"Kongsi Rezeki Ramadan McDonald’s Malaysia bukan sekadar satu inisiatif tahunan, tetapi satu tanggungjawab sosial untuk memastikan komuniti setempat dapat merasai kelebihan bulan mulia ini tanpa mengira latar belakang.

"McDonald’s Malaysia sentiasa berusaha untuk menjadi jiran yang prihatin kepada masyarakat dengan menyantuni mereka yang memerlukan dan meraikan bulan yang bermakna ini bersama semua,” katanya menerusi satu kenyataan.

Komuniti diraikan

Ustazah Asma’ diundang McDonald’s Malaysia untuk menyampaikan tazkirah Ramadan sebagai komitmen syarikat orang Islam untuk mengimarahkan masjid dengan majlis ilmu.


Azmir berkata, restoran khidmat segera itu berhasrat untuk mengunjungi 400 masjid dan surau sepanjang Ramadan ini bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

"Antara aktiviti yang akan diadakan ialah menyumbang juadah moreh hidangan McDonald’s dan bubur lambuk, manakala empat lokasi tumpuan utama juga telah dipilih untuk mengadakan majlis ilmu menampilkan penceramah terkemuka,” katanya.

Terdahulu, McDonald’s Malaysia telah mengunjungi Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Kampung Peramu, Kuantan bagi menjalankan aktiviti gotong-royong dan tazkirah awal Ramadan.

Pada minggu yang sama, sebanyak 50 masjid dan surau juga telah dikunjungi oleh rangkaian restoran itu untuk menjalankan aktiviti pembersihan dan persiapan lokasi bagi menerima kunjungan jemaah yang akan beribadah pada bulan Ramadan ini.

Selain di Kuantan dan Shah Alam, dua lokasi lain bakal dimeriahkan dengan majlis ilmu dan sumbangan Kotak Rezeki adalah sebuah masjid di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang akan diadakan pada bulan ini.

Mengakhiri Ramadan dengan penuh kemeriahan, McDonald’s Malaysia akan turut serta dalam Pesta Pelita Panjut di Kuala Kangsar pada 25 Mac sebagai menyokong warisan budaya tempatan dalam persiapan menyambut Aidilfi tri yang dinanti-nantikan.