JKR imbangi pemasangan lampu jalan solar

Iklan
Ismail (dua dari kiri) dan Saizol (tiga dari kanan) ketika mendengar penerangan daripada pembekal lampu solar. FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

Dalam usaha pelihara alam sekitar dan peralihan tenaga

KOTA BHARU – Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil pendekatan mengimbangi penggunaan lampu jalan konvensional dan lampu solar bagi memastikan keberkesanan pencahayaan jalan raya serta memulihara alam sekitar.

Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik JKR, Ir Ismail Hashim berkata, lampu solar semakin menjadi pilihan terutama di kawasan terpencil yang jauh dari bekalan elektrik serta lokasi kerap mengalami kecurian kabel.

Iklan
Iklan

"Lampu solar memberi penyelesaian kepada masalah sambungan grid elektrik selain menjimatkan kos operasi kerana tidak memerlukan bayaran bil elektrik.

"Ini menjadikannya lebih praktikal untuk jangka panjang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Mega JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Khamis.

Iklan

Menurut Ismail, harga lampu solar kini lebih berpatutan, menurun daripada RM10,000 kepada RM4,000 hingga RM4,500 seunit, menjadikannya lebih berdaya saing.

"Lampu solar juga perlu mempunyai waranti lima tahun dan mampu menyala selama dua hari walaupun dalam keadaan mendung tanpa pengecasan,” jelasnya.

Iklan

Di Kelantan sahaja, sebanyak 9,465 lampu jalan konvensional dipasang, manakala 1,112 lampu solar telah digunakan sebagai alternatif tenaga bersih.

Pemasangan lampu jalan turut mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan berisiko tinggi kemalangan berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, bagi mengelakkan risiko renjatan elektrik ketika musim banjir, JKR melakukan pemantauan berkala di kawasan kerap ditenggelami air dan akan menutup bekalan elektrik jika paras air meningkat.

"Lampu solar tidak akan menggantikan sepenuhnya lampu jalan konvensional, tetapi ia menjadi alternatif penting dalam mengimbangi keperluan pencahayaan jalan raya serta peralihan tenaga,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Sarawak mengumumkan pemasangan 1,500 unit lampu solar di kawasan Jepak, Bintulu, selari dengan aspirasi negeri itu untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.