SEREMBAN - Susulan nahas membabitkan Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di Senawang baru-baru ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan melancarkan Op Khas Lampu Isyarat Merah bermula pada Rabu.
Ketua JSPT Negeri Sembilan, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, pada hari pertama sahaja, sebanyak 48 daripada 119 saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.
Menurutnya, ia membabitkan pemeriksaan 177 buah kenderaan di kawasan Seremban dan Nilai.
"Op khas ini dijalankan serentak di seluruh Negeri Sembilan bermula semalam dan kami memberi tumpuan di kawasan sekitar Seremban dan Nilai.
"Lokasinya sentiasa berubah-ubah dan berada di kawasan yang dikenal pasti oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD)," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, daerah lain bergantung kepada kesesuaian, dan anggota peninjau akan diletakkan di kawasan lampu isyarat sebelum kenderaan yang dikenal pasti ditahan di sekatan jalan raya (SJR) di hadapan.
Sehubungan itu, katanya, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
"Kami memberi tumpuan kepada kesalahan melanggar lampu isyarat merah, namun jika berlaku kesalahan lain, saman turut akan dikeluarkan.
"Bagi daerah seperti Jelebu atau Jempol, mungkin kurang berlaku kes seperti ini kerana lampu isyarat tidak banyak berbanding di kawasan bandar," katanya.
Jelas beliau, kesalahan membabitkan lesen memandu dan cukai jalan juga dikesan agak banyak selain kesalahan tidak memakai topi keledar serta menggunakan telefon bimbit.
Ujarnya, tujuan op khas itu dilaksanakan adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan lampu isyarat.
"Sebelum ini, kami memberi tumpuan kepada penunggang P-hailing yang didakwa melanggar lampu isyarat merah kerana ingin mengejar masa.
"Tetapi kali ini, ia disebabkan dua kes kemalangan yang tular di Senawang dan Sendayan baru-baru ini membabitkan kereta yang melanggar penunggang motosikal," katanya.