KLUANG – Seorang pembantu kedai makan mengalami kerugian selepas beg tangannya dilarikan pencuri dalam kejadian di sebuah restoran di Kluang Parade, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam di Kedai Makan Wan DJ, tingkat bawah pusat beli-belah tersebut.
Menurutnya, mangsa, Sumarmi, 55, yang merupakan warga Indonesia, hanya menyedari kehilangan beg tangan itu selepas selesai bekerja.
"Siasatan awal mendapati mangsa meletakkan beg tangannya di bawah meja di dapur sebelum ke bahagian hadapan kedai untuk menyiapkan persiapan berbuka puasa bersama rakan sekerja.
"Bagaimanapun, selepas selesai makan, mangsa kembali ke dapur dan mendapati beg tangannya telah hilang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut Bahrin, mangsa cuba mencari beg tersebut di sekitar premis namun tidak menjumpainya namun beg itu akhirnya ditemukan di kaki lima luar dapur restoran.
Bagaimanapun, beg tersebut hanya mengandungi surat pajak gadai dan surat kedai emas Seri Maju, manakala wang tunai RM800 serta pasport mangsa didapati hilang.
Tambahnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan menunjukkan seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti memasuki restoran melalui pintu belakang.
"Suspek kemudian dilihat beredar dari lokasi kejadian sambil membawa sebuah beg tangan dipercayai milik mangsa.
"Kita percaya suspek mengambil kesempatan ketika mangsa dan pekerja lain sedang berbuka puasa di bahagian hadapan kedai sebelum melarikan beg tangan itu tanpa disedari sesiapa,” katanya.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.