Tular hentian bas di Kuantan jadi tempat tinggal gelandangan

Iklan
Tangkap layar hantaran dan beberapa keping gambar mengenai keadaan sebuah hentian bas di Kampung Kurnia, berdekatan 7-Eleven, yang dijadikan tempat tinggal gelandangan, telah tular di media sosial pada malam Rabu.

KUANTAN – Beberapa keping gambar mengenai keadaan sebuah hentian bas di Kampung Kurnia berdekatan sebuah kedai serbaneka yang dijadikan tempat tinggal gelandangan tular di media sosial pada malam Rabu.

Hantaran yang dimuat naik dalam sebuah kumpulan Facebook itu menunjukkan keadaan hentian bas yang kotor dan dipenuhi pelbagai barangan, termasuk kotak, pakaian serta peralatan lain.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran tersebut, seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hati apabila hentian bas itu dijadikan tempat tinggal sehingga kotor dan mencacatkan pemandangan.

Malah, pengguna itu turut mendakwa terdapat seorang wanita di kawasan terbabit yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Iklan

"Apa nak buat gelandangan ini ye? Dia buat macam bustop ini macam apa tah... kotor... Perempuan main dadah... kalau laki dah nyepak dah...," tulisnya dalam hantaran tersebut.

Menurut hantaran berkenaan, aduan telah dibuat kepada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), namun pihak MBK menyarankan agar perkara itu dilaporkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Iklan

Keadaan ini menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat kerana lokasi terbabit berdekatan dengan kawasan perniagaan.

Hantaran itu turut mendapat lebih 150 tanda suka serta lebih 70 komen daripada netizen yang rata-rata menyuarakan kebimbangan mereka.

Seorang pengguna meminta MBK mengambil tindakan segera kerana keadaan itu mencemarkan imej bandar Kuantan.

"MBK kena lah buat sesuatu, tercemar imej bandar raya kalau macam ni kan," katanya.

Seorang lagi pengguna mempersoalkan sikap pihak berkuasa tempatan terhadap isu ini.

"MBK tak kesah eh Kuantan nampak jijik, cacat pemandangan? Okay2... make sense la... no wonder..." tulisnya dalam ruangan komen.

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid ketika dihubungi mengesahkan bahawa kawasan hentian bas terbabit telah dibersihkan oleh pekerja Alam Flora sebaik sahaja pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan persekitaran yang kotor.

Menurutnya, gelandangan yang menghuni tempat itu merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an.

"Kami telah membersihkan kawasan tersebut hari ini. Namun, kami hanya mengambil sampah dan tidak mengusik barang-barang milik individu berkenaan," katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan di lokasi mendapati kawasan tersebut kini berada dalam keadaan bersih selepas tindakan segera diambil oleh pihak berkaitan.

Bagaimanapun, gelandangan yang sebelum ini menghuni hentian bas berkenaan tidak kelihatan, menimbulkan persoalan sama ada dia telah berpindah atau masih berada di sekitar kawasan tersebut.

Beberapa peniaga berhampiran turut memaklumkan mereka tidak lagi melihat kelibat lelaki tersebut selepas kawasan itu dibersihkan.