Persatuan Haiwan gesa pemilik premis mandulkan anjing peliharaan

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung insiden warga emas cedera digigit anjing liar ketika pulang dari bazar

SEREMBAN – Persatuan Haiwan Malaysia menggesa penambahan syarat baharu dalam Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing dengan mewajibkan pemilik premis memandulkan anjing peliharaan mereka.

Menurut persatuan itu, langkah ini dapat mengawal lambakan anjing di premis industri dan ladang yang akhirnya menjadi anjing liar di jalanan.

Iklan
Iklan

"Dipercayai anjing liar yang menyerang seorang warga emas di hadapan Stesen Komuter Rembau pada Isnin berasal dari premis perindustrian atau ladang berhampiran.

"Undang-undang khusus iaitu UUK Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing telah lama wujud dan mengehadkan bilangan anjing bagi setiap premis. Namun, perlu ada pengukuhan penguatkuasaan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Persatuan itu turut menggesa Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menambah syarat dalam UUK dengan mewajibkan pemilik premis memandulkan anjing peliharaan.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan seorang warga emas berusia 69 tahun diserang anjing liar ketika berjalan kaki bersama isterinya pulang dari bazar Ramadan.

Iklan

Mangsa mengalami kecederaan pada jari dan punggung akibat gigitan anjing sebelum dihantar ke Hospital Rembau untuk rawatan.

Beliau kini masih menerima rawatan susulan, termasuk suntikan pencegahan jangkitan anjing gila sebanyak enam kali sehingga 30 Mac ini.

Dalam pada itu, Persatuan Haiwan Malaysia turut menekankan bahawa premis yang menjalankan aktiviti pembiakan anjing perlu memiliki Lesen Pembiakbakaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

"Pihak kami bersedia untuk dipanggil berbincang dengan kerajaan bagi menggariskan semula Sistem Pengurusan Haiwan Terbiar yang lebih mapan dan adil untuk manusia serta anjing.

"Ia juga perlu selari dengan Dasar Keselamatan Majlis Keselamatan Negara bagi melindungi rakyat daripada ancaman anjing liar,” katanya.