KLUANG – Hanya 36 jenis bunga api dalam kategori 'Happy Boom' dan 'Pop-Pop' dibenarkan dijual kepada orang ramai selepas permit jualan dibuka bermula Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kebenaran jualan telah bermula pada 10 Mac lalu dengan sebanyak 105 permit diluluskan daripada 110 permohonan yang diterima.
Menurutnya, lima permohonan tidak diluluskan kerana tidak mendapat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), seperti yang ditetapkan dalam syarat permohonan.
"Meskipun permit jualan telah dikeluarkan, pihak polis akan terus memantau bagi memastikan tiada mercun yang diharamkan dijual.
"Kebenaran jualan ini hanya berkuat kuasa sehingga 5 April depan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa bersama media, malam tadi.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memilih lokasi selamat ketika bermain bunga api dan mercun bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Selain itu, tempoh permainan mercun juga dihadkan sehingga jam 12 tengah malam bagi menjaga ketenteraman awam, khususnya bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.