MyTOWNKL sambut jalinan kesyukuran Aidilfitri

Iklan
Persembahan kompang dan demonstrasi silat pada program ‘Rasai Keindahan Warisan dengan Jalinan Kesyukuran’ MyTOWN KL. Gambar kecil: Mohd Azhan, Yap Sue Yii

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Aidilfitri, pusat beli-belah MyTOWN (MyTOWNKL) memperkenalkan program"Rasai Keindahan Warisan dengan Jalinan Kesyukuran" yang mengetengahkan nilai tradisi, kemesraan serta keindahan warisan budaya.

Pengurus Besarnya, Mohd Azhan Che Mat berkata, pengunjung berpeluang merasai suasana kampung tradisional dengan dekorasi kain perca serta sulaman halus yang melambangkan kasih sayang dalam setiap kediaman menerusi inisiatif tersebut.

Iklan
Iklan

"Program ini diadakan bagi menyemarakkan rasa kesyukuran selaras dengan tema Aidilfitri 2025 yang menekankan kepentingan bersyukur. Oleh itu, kami berkolaborasi dengan Komuniti Tukang Jahit (KTJ) sebagai usaha menyokong dan menghargai golongan B40 serta ibu tunggal.

Mohd Azhan (tengah) bersama barisan pengurusan MyTOWNKL yang lain.

"Tema kain perca ini mengingatkan kita kepada nenek moyang yang menyulam kain dengan penuh kasih sayang. Kami berharap, melalui 'Jalinan Kesyukuran', lebih ramai dapat menghayati tradisi serta mencipta kenangan bermakna bersama keluarga,” katanya selepas Program"Rasai Keindahan Warisan dengan Jalinan Kesyukuran" di sini, pada Rabu.

Iklan

Selain menjalin kerjasama bersama KTJ dalam usaha membantu golongan memerlukan, 22 pelajar dari Dasein Academy of Art turut berganding bahu mengumpul dana bagi menolong kanak-kanak yang menghidap kanser menerusi Kempen Harapan Emas.

MyTOWNKL memperkenalkan program ‘Rasai Keindahan Warisan dengan Jalinan Kesyukuran’ pada 12 Mac lalu sempena sambutan Aidilfitri.

Pengunjung juga berpeluang menebus hadiah eksklusif melalui Aplikasi MyTOWNKL, termasuk sampul raya rekaan khas, beg edisi terhad dan sarung bantal hasil jahitan KTJ, dengan hanya 200 mata ganjaran.

Iklan

Pusat beli-belah itu turut mengumumkan pembukaan IDEAS Academy, yang bakal menjadi pusat pembelajaran untuk 400 pelajar sebagai sebahagian daripada komitmen dalam menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti.

Sementara itu, Mohd Azhan berkata, program tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada KTJ dari segi peluang ekonomi, malah berperanan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap seni warisan yang semakin dilupakan.

"KTJ tidak begitu dikenali seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, jadi kami berharap acara ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan membuka lebih banyak peluang untuk mereka.

"Kami juga mahu menghidupkan kembali elemen warisan seperti batik kerana ramai generasi muda tidak mengenali teknik jahitan tradisional yang digunakan oleh nenek moyang kita,” ujarnya.

Tambahnya, kelainan bagi sambutan tahun 2025 adalah pendekatan yang lebih inklusif dengan penyertaan pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

"Hari ini kami menyediakan persembahan kompang dan demonstrasi silat oleh golongan muda.

"Lebih menarik lagi, kami juga memperkenalkan persembahan wayang kulit di Sunken Garden setiap hujung minggu, sesuatu yang jarang ditemui di kawasan bandar, apatah lagi di dalam pusat beli-belah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengasas KTJ, Yap Sue Yii berkata, beliau amat teruja kerana dapat berkolaborasi dengan MyTOWN, lebih-lebih lagi apabila melihat ahli komuniti mereka berbangga dengan hasil kerja sendiri.

"Saya berpeluang menjemput salah seorang ahli komuniti yang hasil jahitannya kini dapat diketengahkan di sebuah pusat beli-belah besar, sekali gus memberi mereka keyakinan dan kepuasan dalam pekerjaan.

"Kami sangat berbangga dengan mereka dan terharu apabila mereka turut berpuas hati dengan hasil tangan sendiri. Biarpun hanya bekerja dari rumah, golongan ibu tunggal B40 ini tetap mempunyai matlamat serta peluang bekerjasama dengan jenama besar,” katanya.