'Tidak wujud undang-undang dua darjat'

Iklan
Jabatan Peguam Negara telah mengenakan kompaun RM250,000 kepada operator ERA FM iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd selepas memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok. (Gambar kecil: Mohamed Haniff)

SHAH ALAM - Tidak wujud undang-udang dua darjat susulan perbezaan kompaun yang dikenakan dalam beberapa kes berprofil tinggi di negara ini, kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla’.

Sebaliknya beliau berkata, ia berpunca daripada pindaan perundangan atau perbezaan seksyen pertuduhan bergantung kepada jenis kesalahan dilakukan.

Iklan
Iklan

Katanya, sebarang perbandingan perlu dibuat berdasarkan peruntukan yang terpakai dalam sesuatu kes bukan semata-mata melihat jumlah denda atau kompaun dikenakan.

Menurutnya, kes membabitkan tiga penyampai radio ERA FM adalah di bawah Seksyen 223 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah dipinda dan berkuat kuasa pada 12 Februari lalu.

Iklan

Pindaan tersebut menyaksikan hukuman di bawah SKMM dinaikkan penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM500,000.

"Oleh itu, kompaun yang dikenakan kepada mereka yang terlibat sebanyak RM250,000 mengikut kadar hukuman baharu.

Iklan

"Di sini perlu faham, kompaun adalah satu bentuk penyelesaian yang ditawarkan pihak berkuasa tanpa perlu membawa kes ke mahkamah manakala denda hanya boleh dikenakan selepas sesuatu kes diputuskan di mahkamah.

"Kompaun pula tidak boleh ditentukan sesuka hati, ia perlu selaras dengan pindaan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara telah mengenakan kompaun RM250,000 kepada operator ERA FM iaitu Maestra Broadcast Sdn Bhd selepas memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok.

Jumlah tersebut ternyata mengundang persoalan beberapa pihak yang berpendapat ia tidak sepadan dengan kadar denda RM60,000 yang dikenakan ke atas syarikat rangkaian runcit serbaneka terkemuka, KK Mart sehingga mencetuskan perdebatan mengenai isu undang-undang dua darjat.

Mengulas lanjut mengenai hukuman terhadap KK Mart yang didakwa menjual stoking tertera kalimah ALLAH, Haniff berkata, syarikat tersebut dituduh di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menimbulkan kemarahan berdasarkan agama atau bangsa.

Jelasnya, pertuduhan itu tiada kaitan dengan SKMM kerana membabitkan produk di stor syarikat, bukan media sosial.

"Perbezaan untuk Seksyen 298 ini tidak mempunyai maksimum denda yang dikenakan. Denda yang dijatuhkan pula adalah tertakluk kepada budi bicara mutlak mahkamah.

"Disebabkan itu, kes ini mesti dibicarakan di mahkamah dan hanya mahkamah yang boleh jatuhkan hukuman.

"KK Mart juga telah dikenakan bayaran denda RM60,000 dan jumlah tersebut lebih tinggi berbanding kes lain di bawah seksyen sama,” katanya lagi.