Pengkhianat jual kewarganegaraan

Iklan
Tindakan mana-mana pihak menjual dokumen kewarganegaraan kepada warga asing disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan perlu dikenakan hukuman yang paling berat. (Gambar kecil: Muhammad Fathi)

SHAH ALAM - Tindakan mana-mana pihak menjual dokumen kewarganegaraan kepada warga asing disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada negara dan perlu dikenakan hukuman yang paling berat.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, usaha membasmi penularan aktiviti sedemikian amat penting memandangkan ia memberi kesan besar terhadap negara terutama dalam aspek merisikokan kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

"Untuk kes rasuah daftar kelahiran warga asing, terdapat dua bentuk kesalahan dikenal pasti iaitu kesalahan pertama berkaitan dengan sama ada memberi atau menerima rasuah bagi melakukan pendaftaran palsu itu, dan kesalahan itu tertakluk kepada Akta SPRM 2009.

"Yang kedua adalah kesalahan yang berkaitan dengan pendaftaran palsu itu sendiri di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran 1957. Pihak yang terlibat dalam kesalahan itu boleh didakwa mengikut kedua-dua undang-undang berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Muhammad Fathi berpandangan kes rasuah daftar kelahiran warga asing menggunakan dokumen palsu terbabit adalah satu jenayah yang amat serius.

"Justeru, mereka yang melakukan kesalahan itu termasuk pihak yang mendaftarkan kelahiran untuk warga asing menggunakan dokumen palsu, wajar dikenakan tindakan atau didakwa di bawah undang-undang rasuah yang mempunyai peruntukan lebih besar dari segi hukuman.

Iklan

"Kesalahan mereka itu bukan sahaja satu bentuk penyelewengan dalam melaksanakan tanggungjawab awam, tetapi juga satu pengkhianatan kepada negara kerana soal kewarganegaraan ini berkait rapat dengan aspek kedaulatan negara,” katanya.

Tambah Muhammad Fathi, kadar hukuman dikenakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sebenarnya sudah memadai bagi menghukum pengkhianat yang menjual dokumen kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak.

Jelasnya, ini kerana hukuman diperuntukkan adalah membabitkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan.

"Saya kira itu satu hukuman yang setimpal dan wajar bagi kesalahan-kesalahan melibatkan rasuah,” katanya.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak pula berkata, ahli lembaga pengarah klinik serta firma guaman yang terlibat dalam skandal itu seharusnya dikenakan hukuman paling berat.

Jelas beliau, tindakan tegas seperti senarai hitam dan menggantung permit atau lesen perniagaan pihak terlibat perlu dikenakan.

"Kalau di China, mereka yang melakukan pengkhianatan seumpama ini boleh dikenakan hukuman mati.

"Kita minta mereka yang terlibat dikenakan tindakan sekeras-kerasnya agar memberi pengajaran kepada pihak lain untuk tidak sesekali cuba menjual kedaulatan negara,” ujarnya.