ISKANDAR PUTERI - Empat lelaki disyaki pengedar dadah diberkas polis di dua lokasi berlainan pada 1 dan 2 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, tiga lelaki disyaki pengedar dadah aktif diberkas polis dalam sekatan jalan raya di sini pada awal pagi, 1 Mac lalu.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 25 hingga 43 tahun ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Kia Forte.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui 13 bungkusan plastik mengandungi serbuk ekstasi seberat 645.86 gram dengan nilai pasaran RM2,180.
"Ujian saringan awal air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi tiada rekod.
Ujarnya, polis turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM1,950, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM4,130.
Dalam serbuan berlainan pula, polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah di sebuah rumah di Mutiara Rini, awal pagi 2 Mac lalu.
Kumarasan berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 2 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.
"Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenis dadah termasuk serbuk ekstasi seberat 2,268.90 gram, ketamin (5.5 gram), syabu (1.10 gram), pil Erimin 5 (2.8 gram) dan cecair dipercayai dadah sebanyak 1,730 ml.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM380,327, selain sebuah telefon bimbit jenama Infinix GT 10 Pro bernilai RM1,950 turut disita,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan termasuk barangan sitaan mencecah RM381,627.
Ujarnya, ujuan saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine, manakala semakan lanjut menunjukkan rekod jenayah lampau.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.