TLDM selamatkan warga Australia terkandas di perairan Pulau Perak

Iklan
Sebuah kapal layar yang mengalami mengalami kerosakan jentera utama di perairan barat laut Pulau Perak.

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga Australia yang terkandas di perairan barat laut Pulau Perak selepas kapal layarnya, Meridian of Sydney mengalami kerosakan jentera utama pada Rabu.

Menurut kenyataan Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, TLDM menerima maklumat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada jam 11.30 pagi berhubung kegagalan komunikasi dengan kapal layar terbabit ketika dalam pelayaran dari Krabi ke Langkawi.

Iklan
Iklan

"Kapal berkenaan dipercayai telah hanyut selama empat hari sebelum TLDM menggerakkan Kapal Diraja (KD) Mahamiru bagi menjalankan operasi pencarian dan penyelamatan,” menurut kenyataan itu.

KD Mahamiru tiba di lokasi pada jam 1.15 tengah hari dan mendapati kapal layar itu mengalami kerosakan pada jentera utama serta layar, menyebabkan ia tidak dapat meneruskan pelayaran.

Iklan

"Kapal layar tersebut dikendalikan oleh Kepten Kelvin Holly. TLDM bertindak pantas dengan memberikan bantuan awal berupa makanan dan minuman kepada lelaki itu.

"KD Mahamiru kini sedang menunda kapal layar berkenaan ke Jeti Langkawi untuk diserahkan kepada Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Iklan

TLDM turut menegaskan bahawa kejayaan operasi ini membuktikan kecekapan dan profesionalisme anggotanya dalam memastikan keselamatan maritim serta keupayaan bertindak pantas dalam situasi kecemasan.

"Kejayaan ini memperkukuhkan peranan TLDM sebagai barisan hadapan keselamatan di laut, selaras dengan misi utama menjaga kedaulatan perairan negara,” tambah kenyataan itu.