JIM Pahang gempur 'hotspot' PATI, tahan 131 warga asing

Iklan
Antara warga asing yang diperiksa JIM Pahang dalam operasi penguatkuasaan ke atas 'hotspot' PATI sekitar daerah ini, Selasa lalu. Foto Facebook JIM Pahang

KUANTAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang menahan 131 warga asing hasil operasi penguatkuasaan ke atas beberapa lokasi 'hotspot' pendatang asing tanpa izin (PATI) sekitar Bentong dan Kuantan pada Isnin dan Selasa lalu.

Pengarah JIM Negeri Pahang, Nursafariza Ihsan berkata, kesemua yang ditahan didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara kesalahan dikesan, tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Antara lokasi yang digempur JIM Pahang dalam operasi penguatkuasaan ke atas 'hotspot' PATI sekitar Bentong, Isnin lalu. Foto Facebook JIM Pahang

"Dalam operasi melalui Ops Sapu, Ops Jaja, Ops Kutip, Ops Selesa dan Ops Gegar itu, pihak JIM Pahang telah melakukan pemeriksaan ke atas 163 warga asing dan 131 daripadanya telah ditahan.

Iklan

"PATI yang ditahan terdiri daripada 55 warga Indonesia, Bangladesh (48), Myanmar (16), Mesir (1), Pakistan (2), China (1) dan Thailand (8)," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Nursafariza berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan notis kepada 12 majikan dan pemilik premis bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Kemayan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.

Tambah beliau, melalui operasi yang dijalankan 23 pegawai penguat kuasa JIM Pahang selama dua hari itu, pihaknya mendapati masih ramai majikan yang enggan menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja warga asing mereka.

"Ekoran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah majikan itu, kerajaan mengalami kerugian dari hasil kutipan levi.

"Ia juga turut memberi kesan negatif kepada masyarakat dan negara berikutan kebanjiran warga asing yang kini mempelopori sektor perniagaan, restoran dan sebagainya," katanya.

Ujar beliau lagi, warga asing dan majikan diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan PATI diminta tampil menyalurkan maklumat tersebut.

"JIM akan mengambil tindakan drastik menutup ruang dan peluang berlakunya aktiviti yang melanggar undang-undang negara serta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara," katanya.