ALOR SETAR-"Kalau ibu tiada nanti, hampa nak duduk dengan siapa?".
Itu pertanyaan yang diajukan oleh arwah Noriza Saad, 45, kepada anak-anaknya tanpa menyangka bahawa gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan.
Noriza maut di tempat kejadian dalam kemalangan bersama suaminya, Marzlan Abu Hassan, 52, dan seorang remaja, Muhammad Aidil Awang Saidin,14, melibatkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak-Titi Haji Idris di sini penghujung Disember tahun lalu.
Kakak iparnya, Zuraina Abu, 53, berkongsi rasa sebak apabila mengenang pemergian arwah yang juga merupakan sepupunya sendiri.
Menurut Zuraina, anak-anak pasangan tersebut iaitu Muhammad Azrul Hafizi, 15, Aina Damia Hafizi, 14, serta kembar, Nur Qaseh Melissa Marzlan dan Nur Chinta Melissa Marzlan yang berusia dua tahun kini di bawah jagaannya dan telah dianggap sebagai anak sendiri.
"Mereka pernah bergurau jawab pertanyaan ibu mereka, kata kalau ibu tiada, mereka nak duduk dengan saya. Tak sangka gurauan itu menjadi kenyataan,” katanya sebak pada Rabu.
Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan Program Ziarah Ramadan Kita Environment Idaman (E-Idaman) Sdn Bhd mewakili empat beradik itu di rumahnya di Kampung Telok Jamat di sini.
Zuraina turut mengenang kenangan Ramadan bersama arwah dan memaklumkan nasi tomato dan bihun sup antara hidangan yang menjadi kegemarannya.
Menurutnya, arwah juga akan datang awal ke rumah dan membantu memasak sebelum keluar bersama anak-anak nya.
"Arwah sering bertanya setiap kali Ramadan tiba, Kak Na nak masak apa tahun ini kerana sudah menjadi kebiasaan kami memasak bersama," ujarnya.
Tambah Zuraina, anak-anak arwah sering menzahirkan rasa rindu terhadap ibu bapa mereka dan menziarahi kubur mereka di Tanah Perkuburan Islam Telok Jamat di sini.
"Mereka selalu beritahu mereka rindu masakan ibu. Bila bulan puasa, saya masak juadah itu dan mereka makan nasi tomato berkali-kali sebab terkenang kenangan lama,” katanya.
Zuraina yang juga ibu kepada lapan anak berkata, dia akan terus menjaga anak-anak arwah seperti anaknya sendiri.
"Alhamdulillah, ramai yang sudi membantu. Sumbangan yang diberikan sangat banyak, cukup untuk kami. Saya sebak sebab tak sangka ramai yang prihatin,” ujarnya.
Katanya, urusan zakat juga sedang dalam proses bagi memastikan kebajikan anak-anak arwah terus terbela.
"Anak-anak arwah memanggil saya Mak Ngah, tetapi anak arwah yang kecil panggil saya mak. Saya akan jaga mereka sebaik mungkin, insya-ALLAH,” katanya lagi.
Sementara itu, Muhammad Azrul dan Aina Damia mengakui kenangan bersama arwah ibu bapa mereka semakin terasa semasa Ramadan ini dan doa serta bacaan Al-Fatihah dihadiahkan apabila teringat kepada mereka.
Dalam pada itu, Pengurus Sumber Manusia E-Idaman Sdn Bhd, Mohd Shamsul Zulkifli berkata, sumbangan yang diberikan adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau berkata, bantuan yang diberi adalah barangan keperluan asas untuk meringankan beban keluarga ini dan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri ini selain 106 pesakit kronik yang turut dibantu.
"Kita dalam cadangan untuk buat pemantauan keluarga yang kita pilih ini selain menjadikan mereka sebagai anak angkat.
"Buat masa ini, kita akan tengok keperluan dari masa ke masa. Apa saja keperluan kita akan bantu sebaik mungkin," katanya.