Anak yatim terima sumbangan lebih awal sempena Aidilfitri

Iklan
Dari kiri, Nurul Hanie Ellysa,Nor Baiti,Nurul Hanie Erdeena,Nurul Hanie Emiliya,Nurul Hanie Elyana dan Hazza Ikmal Haikal ceria dengan sumbangan yang diterima. Gambar kecil: Ahmad Jafri Dolah - Foto Sinar Harian

TEMERLOH –"Memori paling saya ingat bila dapat makan dan naik motosikal beramai-ramai dengan arwah ayah ketika raya.”

Demikian kata Nurul Hanie Elyana Hamidon, 19, salah seorang daripada 45 penerima sumbangan dalam majlis iftar dan penyerahan bantuan anak yatim anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buloh di sini, pada Isnin.

Iklan
Iklan

Sumbangan disampaikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli di Masjid Ar Ridhuan, bersama Pengerusi JPKK Kampung Sungai Buloh, Ahmad Jafri Dolah dan Pengerusi JPKK Kampung Batu Kapor, Mohd Marizie Sohaimi.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, kenangan bersama ayahnya, Hamidon Awang yang meninggal dunia pada 2019 akibat jangkitan kuman di paru-paru masih segar dalam ingatan.

Iklan
Ridzuan(tiga dari kiri) bersama Ahmad Jafri (dua dari kanan) ketika menyerahkan sumbangan kepada anak yatim.

"Sejak ayah tiada, ibu, Nor Baiti Syukor, 43, banyak berkorban dan bekerja keras mencari rezeki untuk kami adik-beradik.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ibu dan membolehkan kami membuat persediaan raya lebih awal kerana kebiasaannya kami hanya dapat membeli keperluan menjelang Aidilfitri,” katanya yang bercita-cita menceburi bidang kejururawatan.

Iklan

Selain Nurul Hanie yang kini merupakan pelajar Tingkatan Enam, lima adiknya, Nurul Hanie Ezzette, 21; Hazza Ikmal Haikal, 18; Nurul Hanie Emiliya, 15; Nurul Hanie Ellysa, 13; dan Nurul Hanie Erdeena, 7, turut menerima sumbangan sebanyak RM290 seorang.

Bagi ibu mereka, Nor Baiti yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah mengakui sumbangan ini sangat membantu keluarganya dan bersyukur kerana nasib mereka terus mendapat perhatian setiap tahun.

Sementara itu, Ahmad Jafri berkata, JPKK Kampung Sungai Buloh mengambil pendekatan berbeza dengan menyerahkan sumbangan lebih awal berbanding tahun sebelumnya bagi membolehkan anak-anak yatim membuat persiapan raya lebih awal.

"Kita mahu mereka berpeluang mendapatkan keperluan Aidilfitri tanpa perlu menunggu saat akhir,” katanya, sambil memaklumkan program itu turut mendapat sumbangan daripada Datuk Ridzuan serta orang ramai.

Ridzuan pula berkata, sumbangan tersebut amat dialu-alukan dan beliau menghargai usaha yang dilakukan untuk meringankan beban anak-anak yatim di kawasan terbabit.