SABAK BERNAM – Seorang bapa hanya mampu memeluk erat dua anaknya yang menangis ketakutan apabila rumah sewa yang didiami mereka di Taman Ria, Sekinchan di sini dilanda ribut pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, angin kencang menyebabkan bumbung garaj kereta di kediaman terbabit diterbangkan angin sebelum runtuh.
Mohd Nor Fadli Rojikin, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Isma Azila Ismail, 40, serta dua anak mereka yang berusia tiga dan enam tahun sedang berehat di ruang tamu sambil menunggu waktu berbuka puasa.
"Dua lagi anak saya masing-masing berusia lapan dan 10 tahun, berada di sekolah agama ketika ribut melanda.
"Pada awalnya hanya hujan biasa, tapi tiba-tiba angin kuat menerjah dan sekelip mata, bumbung garaj rumah diterbangkan ribut,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menceritakan detik cemas itu, Mohd Nor Fadli berkata, mereka sekeluarga terkejut apabila sebatang kayu garaj runtuh dan menghempap tingkap kaca rumah hingga pecah.
"Saya hanya fikir hendak lindungi mereka sahaja dan rasa takut sesuatu yang lebih buruk berlaku," ujarnya.
Katanya, setelah keadaan semakin reda, dia kemudiannya menjenguk ke luar dan melihat garaj kereta musnah sepenuhnya.
"Walaupun bumbung garaj rosak teruk, saya tetap bersyukur kami sekeluarga terselamat," katanya.
Seorang warga emas, Lee Luan Ngo, 71, yang turut terkesan dalam kejadian itu berkata, kejadian ribut menyebabkan bahagian bumbung garaj diterbangkan angin dan zink rumahnya terangkat.
"Saya terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang tidur di ruang tamu bersama anak perempuan.
"Saya sangat terkejut kerana sepanjang 41 tahun tinggal di sini, ini adalah kali pertama kejadian seperti ini berlaku," katanya.
Menurutnya, dia telah menetap di kawasan itu sejak sekian lama dan sebelum ini pernah mengalami dua kejadian banjir, namun kejadian ribut kali ini disifatkan paling teruk.
"Ribut berlaku terlalu cepat, hanya dalam tempoh satu minit sahaja.
"Saya sempat melihat ke luar dan nampak angin berpusing-pusing sebelum semuanya rosak," katanya yang menetap bersama dua anak dan seorang cucu.