'Kami tidak bernasib baik tersingkir dengan cara begini' - TMJ

Iklan
Tunku Mahkota Ismail

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terpaksa akur dengan nasib yang tidak menyebelahi mereka selepas tewas kepada Buriram United 0-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkata, pasukan telah menunjukkan semangat juang yang tinggi biarpun tewas dan baginda turut menyatakan rasa bangga dapat beraksi di pentas tertinggi Asia itu.

Iklan
Iklan

"Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi JDT untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia.

"Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.

Iklan

"Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan," kata baginda dalam satu kenyataan di laman media sosial.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Suphanat Mueanta pada minit ke-58 sudah cukup untuk memusnahkan harapan JDT mara ke pusingan suku akhir ACLE.

Iklan

Dalam pada itu, baginda menegaskan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan tersebut dan bertekad untuk terus meletakkan JDT sebagai salah satu pasukan gergasi Asia.

Menurut baginda, pihak pengurusan telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pasukan dan sudah pun merangka perancangan baharu sejak beberapa bulan lalu.

"Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.

"Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan," kata baginda.

Dalam pada itu, baginda turut merakamkan penghargaan kepada penyokong JDT yang hadir memenuhi Stadium Sultan Ibrahim dan memberikan sokongan luar biasa kepada pasukan.

"Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri. Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya," katanya.