[VIDEO] Tiada siasatan terpilih untuk mana-mana kes termasuk Ismail Sabri - SPRM

Iklan
Azam Baki.

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa tiada sebarang siasatan bersifat selektif dalam mengendalikan mana-mana kes, termasuk yang berprofil tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan yang dijalankan pihaknya dilakukan secara profesional dan berlandaskan undang-undang.

Iklan
Iklan

"Semalam saya ada baca dalam satu berita di media sosial mengatakan SPRM meletakkan wang RM170 juta tersebut, jadi saya fikir di mana saya boleh dapatkan semua wang ini.

"Jadi dalam hal ini, maksudnya tidak ada penyiasatan selektif. Kita menjalankan siasatan secara profesional, jadi perkara remeh-temeh begini, terpulanglah kepada anda semua menilainya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Selasa.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas sama ada siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berunsurkan serangan politik.

Iklan
Azam Baki.

Mengulas lanjut mengenai sama ada prinsip tersebut terpakai dalam siasatan melibatkan ahli politik di Sabah, Azam menegaskan bahawa SPRM mengendalikan semua kes secara adil tanpa memihak kepada sesiapa.

"Semua kes, bukan sahaja di Sabah, sebelum ini kita mempunyai banyak kes berprofil tinggi yang kita tidak memihak kepada sesiapa.

"Jadi dalam hal ini, kita menjalankan tugas secara profesional," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut diminta mengulas mengenai siasatan terhadap Ahli Parlimen Bera dan status cuti sakitnya yang dijangka berakhir pada Selasa.

"Beliau perlu datang ke pejabat (SPRM). Jika tidak, kita perlu mengetahui alasan yang diberikan kerana tidak hadir.

"Pada minggu lepas, oleh kerana beliau masih dalam cuti sakit, kita tidak mahu mengganggu kerana seseorang yang telah disahkan oleh doktor mempunyai masalah kesihatan.

"Sehingga sekarang, saya tiada maklumat daripada pegawai penyiasat atau doktornya bahawa beliau tidak sihat. Maka, saya beranggapan keesokan harinya (Khamis), beliau harus datang ke pejabat untuk dirakam percakapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan bahawa seramai 23 saksi tambahan akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

"Saya tak pasti sama ada mereka sudah dipanggil atau belum, tetapi usaha sedang dijalankan untuk memanggil kesemua 23 saksi itu secepat mungkin.

"Kita juga, seperti mana kehendak semua pihak termasuk orang awam, mahu menyegerakan siasatan berprofil tinggi ini," katanya.