Tiga beradik menangis, panggil ibu yang sudah tiada

Iklan
Suasana pilu menyelubungi kediaman di Kampung Baru, Sri Gading apabila tiga beradik memanggil-manggil ibu mereka yang sudah tidak bernyawa selepas wanita itu maut akibat melecur dalam kebakaran rumah, Sabtu lalu.

BATU PAHAT – Suasana pilu menyelubungi kediaman di Kampung Baru, Sri Gading apabila tiga beradik memanggil-manggil ibu mereka yang sudah tidak bernyawa selepas wanita itu maut akibat melecur dalam kebakaran rumah, Sabtu lalu.

Anak mangsa, Afif Ryan Mohd Nazri, 7, Iffa Safwa, 10 dan Naifa Safwa, 6, tidak dapat menahan kesedihan ketika melihat jenazah ibu mereka, Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, yang tiba dari hospital dalam keadaan terbujur kaku.

Iklan
Iklan

Dalam pada itu, nenek saudara mangsa, Suhana Tumin, 52, berkata, tangisan tiga beradik itu menyentuh hati ahli keluarga dan sanak saudara yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

"Ketika jenazah tiba, kami beri peluang anak-anak ini mencium ibu mereka buat kali terakhir. Masa itu, mereka menangis sambil memanggil ibu sehinggalah jenazah dibawa ke masjid.

Iklan

"Melihat mereka bertiga dalam keadaan begitu, saya sebak. Mereka terus memanggil ibu dari rumah hingga ke tanah perkuburan, sampai kami terpaksa menenangkan mereka,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Syarah Nurul Masturah terpaksa ditidurkan selepas mengalami kecederaan parah akibat melecur seluruh badan.

Iklan

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada Ahad malam sewaktu menerima rawatan di hospital.

Menurut Suhana, anak sulung arwah, Iffa, bertanyakan mengenai ibunya pada pagi hari kejadian namun, dia tidak sampai hati untuk menceritakan perkara sebenar.

"Saya hanya beritahu ibu mereka masih di hospital, walaupun hakikatnya dia sudah tiada. Saya tak dapat bayangkan bagaimana mereka akan meneruskan hidup tanpa ibu di sisi.

"Saya menerima berita pemergian Syarah selepas dihubungi pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sekitar jam 9.45 malam, ketika dia bersama ibu arwah, Subidah, 68, berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk memberi keterangan.

"Doktor sudah maklumkan keadaan arwah ketika di hospital, jadi kami reda dengan ketentuan Ilahi. Arwah melecur 74 peratus, doktor cuba masukkan air tetapi keluar semula kerana kulitnya sudah tiada,” jelasnya.