KUALA TERENGGANU - Peniaga moreh di sekitar bandar ini mengakui berdepan cabaran apabila jualan mereka tahun ini kurang mendapat sambutan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Perkara itu dikongsi menerusi hantaran video berdurasi 58 saat di media sosial pada Selasa, menggambarkan keluhan mereka yang terpaksa membayar sewa tapak walaupun hasil jualan merosot.
Tinjauan di media sosial mendapati kebanyakan netizen berpendapat bahawa punca utama situasi itu kerana terlalu banyak lokasi jualan moreh dibuka serentak di daerah berkenaan, menyebabkan pembeli berpecah dan jumlah pelanggan di setiap tempat menjadi sedikit.
Seorang pemilik akaun Mohd Zulkifki berkata, makanan yang dijual di tempat moreh hampir sama dengan yang dijual di pasar malam dan mencadangkan peniaga membuat kelainan dengan menawarkan makanan lebih unik seperti menu diet atau makanan sihat.
Selain itu, katanya, faktor ekonomi turut dikatakan mempengaruhi perbelanjaan orang ramai.
Jelasnya, ramai keluarga kini lebih berhati-hati dalam berbelanja kerana perlu menyimpan wang untuk persiapan Ramadan dan Aidilfitri, terutama selepas mengeluarkan belanja besar bagi keperluan sekolah anak-anak.
Bagi Tuan Jiwa pula, harga makanan yang semakin meningkat turut memberi kesan kepada pembeli.
"Untuk membawa keluarga membeli juadah moreh, seseorang perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya RM50 hingga RM60, menjadikannya satu beban bagi mereka yang perlu berjimat," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial, Rohok Basse berkata, jualan peniaga di lokasi moreh semakin merosot tahun ini berikutan beberapa faktor termasuk peningkatan kos sara hidup dan perubahan trend berbuka puasa dalam kalangan masyarakat.
Katanya, tarikh Ramadan kali ini disambut selang tidak lama dengan pembukaan sekolah ditambah pula dengan persiapan hari raya, menyebabkan orang ramai lebih berjimat dalam berbelanja.
"Bulan puasa tahun ini dekat sangat dengan buka sekolah, tak lama lagi nak persiapan raya pula...semua perlukan duit," katanya.
Selain itu, katanya, kenaikan harga bahan mentah juga menyebabkan peniaga tidak dapat menawarkan makanan dengan harga murah seperti dahulu.
"Harga barang agak meningkat, terutama bahan mentah masakan, jadi peniaga pun tak boleh jual murah-murah. Kalau ada anak seorang dua pun, kena fikir banyak kali sebelum pergi," tambahnya.
Menurutnya, trend berbuka puasa di tempat terbuka seperti pantai dan taman awam kini semakin menjadi pilihan, sekali gus memberi kesan kepada jumlah pelanggan di tempat moreh.
Dalam pada itu, dia turut menegur segelintir peniaga yang mengenakan harga tinggi tetapi kualiti makanan tidak setimpal.
"Ramai takut bayar mahal tapi kualiti tak sebanding. Maaf cakap, ada segelintir kecil peniaga belum layak berniaga. Kasihan pelanggan yang bayar mahal tapi hanya dapat makanan sedikit dan kurang memuaskan," katanya.
Bagaimanapun, beliau merakam penghargaan kepada peniaga yang masih mengekalkan kualiti dan harga munasabah.
Sementara itu, Fakhrul Krul pula melihat keadaan itu sebagai lumrah dunia perniagaan memandangkan jumlah peniaga dilihat lebih ramai berbanding pembeli.
"Jumlah peniaga yang lebih ramai berbanding pembeli menjadikan persaingan semakin sengit, menyebabkan ada gerai yang tidak mendapat sambutan," katanya.