Bank Negara, KKM, KWSP bangunkan produk asas insurans kesihatan, takaful

Iklan
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membangunkan produk asas insurans kesihatan serta takaful, sekali gus menjadi antara usaha yang dikenal pasti untuk mengekang kenaikan premium Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, produk asas insurans kesihatan serta takaful berkenaan menekankan konsep penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu juga sebahagian daripada usaha pembaharuan sektor kesihatan negara yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan akses kepada rawatan perubatan lebih mampan.

"Peningkatan inflasi kos perubatan menyebabkan peningkatan berterusan dalam tuntutan insurans kesihatan dan takaful.

Iklan

"Bagi menangani perkara ini, beberapa langkah telah dikenal pasti bagi mengekang kenaikan premium MHIT, iaitu pengagihan kadar pelarasan premium, penangguhan pelarasan premium, pengaktifan semula dan penyediaan produk alternatif," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pada masa sama inisiatif pembaharuan sektor kesihatan negara juga perlu disegerakan dalam tempoh tiga tahun bermula 2024 hingga 2026.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan 11 komoditi agromakanan utama, termasuk beras, kelapa, ayam dan telur, mencukupi bagi menampung keperluan masyarakat sepanjang Ramadan serta sebagai persiapan Aidilfitri.

Beliau menambah, program jualan murah seperti Jualan Rahmah Madani, Jualan Pra-Syawal di Pasar Tani dan Jualan Agro Madani juga akan diperluaskan oleh kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan menjelang musim perayaan.

"Kerajaan komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran kos sara hidup, termasuk melalui program peningkatan pendapatan, jualan murah dan bantuan tunai.

"Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa," katanya.

Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut meneliti inisiatif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam memperkukuh perlindungan sosial dan pemadanan pekerjaan bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat.

"Antara inisiatif yang akan dipertingkatkan termasuk memastikan pemadanan pekerjaan lebih cekap serta menyediakan insentif kepada majikan bagi pengambilan pekerja daripada kumpulan yang lebih memerlukan," ujarnya.